KUALA LUMPUR, 28 April – Saman fitnah yang dikemukakan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin terhadap Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) akan menjalani perbicaraan penuh.

Peguam Mohammed Nasser Yusof, yang mewakili Jamal, berkata ini kerana kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat menerusi proses pengantaraan.

Beliau juga berkata bagaimanapun mahkamah belum menetapkan tarikh perbicaraan dan kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff pada 21 April namun tarikh itu telah dikosongkan.

“Saya menerima satu e-mel daripada mahkamah semalam yang memaklumkan bahawa ia telah menetapkan 24 Jun sebagai pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemas kini mahkamah mengenai perkembangan kes itu dan untuk menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya kepada Bernama melalui mesej di aplikasi WhatsApp.

Pada 14 Jun 2017, Yeo memfailkan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta daripada Jamal yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung penyalahgunaan dana YAWAS.

Dalam pernyataan tuntutan, Yeo yang juga Ahli  Parlimen Bakri, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan tersebut telah disiarkan oleh beberapa akhbar, portal berita serta di laman sosial Facebook milik Jamal.

Yeo mendakwa kenyataan itu, antara lain, memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan merupakan seorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, Yeo memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi kenyataan tersebut.

• Like Facebook F8Buzz • Follow Twitter F8Buzz • Follow Instagram F8Buzz

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini