34 Individu Sertai Parti Liar Semasa PKP Ditahan Polis

0
200
Picture by Yusof Mat Isa

JOHOR BAHRU, 13 April – Polis menahan 23 lelaki dan 11 wanita yang menghadiri parti liar semasa tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam lima serbuan di dua blok apartmen di sini sejak Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua mereka yang berumur 17 hingga 31 tahun ditahan dalam serbuan di lima unit apartmen di Johor Bahru dan Masai, dengan tiga daripadanya dibuat pada 11 April bermula pukul 10.30 malam, manakala dua lagi tengah malam semalam.

Katanya lapan daripada mereka ditahan kerana memiliki dadah disyaki jenis ketamine dan THC seberat 6.68 gram, pil ecstasy (20 biji), serta pil erimin 5 (tiga biji), dan hasil saringan ujian air kencing mendapati 28 daripada mereka positif dadah jenis ketamine dan THC.

Beliau berkata hasil semakan mendapati tiga daripada lelaki yang ditahan memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dadah, dan menurutnya antara yang ditahan termasuk dua penjawat awam yang masih berkhidmat. 

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek bukan penghuni di unit-unit itu, serta gagal memberi alasan yang munasabah untuk berkumpul,”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Polis Johor

Kes disiasat masing-masing mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (bagi suspek memiliki dadah), Seksyen 15(1)(A) ADB 1952 (bagi suspek yang positif dadah) serta Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melanggar arahan PKP, dan semua mereka kini ditahan reman sehingga 16 April.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here