SAN FRANCISCO, 23 Sept – Yahoo Inc pada Khamis mengaku bahawa maklumat sekurang-kurangnya 500 juta pengguna akaun, termasuk nama, alamat e-mel, nombor telefon, tarikh lahir dan kata laluan, telah dicuri daripada rangkaian itu pada akhir tahun 2014, lapor agensi berita China Xinhua.

Syarikat teknologi itu, yang berpangkalan di Sunnyvale, utara California, menerusi satu catatan dalam laman sesawang bertajuk “Satu Mesej Penting Berkaitan Keselamatan Pengguna Yahoo” menyatakan bahawa ia percaya insiden itu didalangi seorang pelaku yang didokong oleh negara tertentu dan siasatan telah mendapati tiada bukti individu terbabit kini berada dalam rangkaiannya.

Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Yahoo Bob Lord berkata maklumat yang dicuri termasuk “beberapa kes yang membabitkan soalan dan jawapan keselamatan tersulit atau tidak tersulit.”

Bagaimanapun, ketika siasatan sedang berjalan dan Yahoo bekerjasama dengan penguatkuasaan undang-undang, Lord berkata maklumat yang dicuri tidak termasuk kata laluan tidak dilindungi dan data kad pembayaran atau maklumat akaun bank kerana ia tidak disimpan dalam sistem yang didapati telah terjejas.”

Syarikat itu, yang pernah menjadi legenda Lembah Silikon dan perintis laman sesawang era 1990-an namun bersetuju menjual perniagaan yang beroperasi kepada Verizon Communications Inc pada akhir Julai tahun ini, menyebut ia sedang memaklumkan pengguna yang berpotensi terjejas melalui e-mel dan meminta mereka menukar kata laluan serta menggunakan pelbagai alternatif bagi pengesahan akaun.

Ia turut memberi amaran berhubung komunikasi yang meminta pengguna memberikan maklumat peribadi atau merujuk mereka ke satu laman sesawang yang meminta maklumat peribadi, dan meminta mereka untuk mengelak mengklik pautan atau memuat turun lampiran daripada e-mel yang mencurigakan.

Laporan media tidak rasmi menyebut Yahoo telah dimaklumkan berkaitan perkara itu dua bulan lepas.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini