Keretapi Sarong 2026 (KS26) mengajak rakyat Malaysia menghayati makna sebenar ‘Sayang Malaysia’ dengan mengenali individu di sekeliling mereka, selain sekadar mengenakan pakaian tradisional dan merakamkan gambar sepanjang sambutan.
Berlangsung bersempena Hari Malaysia dan ulang tahun ke-10 penganjurannya, KS26 kembali dengan tema “Sayang Malaysia” yang menyeru rakyat menzahirkan rasa cinta terhadap negara melalui sikap ingin tahu, saling menghormati dan kesediaan untuk hidup bersama walaupun mempunyai perbezaan latar belakang.
Menurut Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrine Zainuzzaman, semangat Keretapi Sarong bukan hanya terletak pada pakaian yang dipakai, tetapi turut merangkumi hubungan yang terbentuk sepanjang perjalanan.
BUZZ RINGKAS
APA:
Keretapi Sarong 2026 (KS26) dengan tema “Sayang Malaysia”.
BILA:
Bersempena sambutan Hari Malaysia dan ulang tahun ke-10 Keretapi Sarong.
DI MANA:
12 stesen terpilih di Lembah Klang sebelum menuju ke Raintree Plaza @ TRX.
SIAPA:
LOCCO bersama komuniti dan rakyat Malaysia di beberapa lokasi seluruh negara.
MESEJ:
Menggalakkan rakyat mengenali individu di sekeliling, menghormati perbezaan dan menghayati semangat Malaysia dalam kehidupan seharian.
“Hari ini, kita akan melihat sarong, batik, songket, kebaya, baju Melayu dan pelbagai pakaian tradisional memenuhi stesen. Semuanya cantik, tetapi perkara paling penting bukanlah apa yang kita pakai. Sebaliknya, ia adalah individu yang berdiri di sebelah kita,” katanya.
Beliau berkata, individu tersebut mungkin datang daripada etnik, bahasa, agama, negeri atau latar belakang berbeza, namun tetap berkongsi tanah air yang sama.

Keretapi Sarong Diperluas Ke Pelbagai Lokasi
Di Lembah Klang, peserta memulakan perjalanan dari 12 stesen terpilih di 10 bandar sebelum menuju ke destinasi rahsia yang didedahkan pada hari acara, iaitu Raintree Plaza @ TRX.
Semangat yang sama turut dibawa oleh komuniti di Padang Besar, Langkawi, Sungai Petani, George Town, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuantan.
Edisi Kuching pula, yang menjadi penyertaan rasmi pertama Keretapi Sarong di luar Semenanjung Malaysia, dijadualkan semula pada Disember 2026 berikutan keadaan jerebu di Sarawak.
Perluasan ke pelbagai lokasi itu tidak bertujuan untuk menghasilkan sambutan yang seragam di seluruh negara. Sebaliknya, setiap komuniti diberikan ruang untuk menafsirkan semangat Keretapi Sarong menerusi seni, muzik, pakaian dan identiti tempatan masing-masing.

Ruang Khas Untuk Peserta Wanita
Buat pertama kali, KS26 memperkenalkan Women Station Only di Stesen MRT Titiwangsa sebagai lokasi permulaan khas untuk peserta wanita.
Inisiatif tersebut diwujudkan susulan permintaan komuniti wanita yang mahukan persekitaran lebih selesa untuk memulakan perjalanan, khususnya ketika stesen dan tren sesak.
Ruang berkenaan turut menjadi platform untuk meraikan kreativiti, sumbangan dan kepimpinan wanita dalam membentuk keluarga, komuniti serta negara.

Lagu Tema Rasmi Pertama Keretapi Sarong
Sempena ulang tahun ke-10, Keretapi Sarong turut memperkenalkan lagu tema rasmi pertama berjudul “Joget Sarong” yang dipersembahkan oleh penyanyi Aina Abdul dan Didie Shazry.
Lagu berkenaan memberikan nafas serta rentak baharu kepada perjalanan Keretapi Sarong yang sebelum ini sinonim dengan muzik rakyat, persembahan spontan dan nyanyian beramai-ramai.
KS26 turut menerima sokongan daripada rakan penaja serta rakan strategik termasuk MAGGI®, WONDA Kopi Tarik, Watsons Malaysia, NIVEA, Nando’s Malaysia dan AmBank Group.
Antara rakan sokongan lain ialah Kart’s, Febreze, Siti Khadijah, Beauty of Joseon, KWC Fashion Wholesale, Wardah, Fipper, Media Prima Berhad, Holiday Inn Express Kuala Lumpur City Centre, Mana Mana Hospitality dan The Hype Cosmetics Outlet (THCO).
Rapid KL berperanan sebagai Official Mobility Partner, manakala Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), Railway Assets Corporation (RAC) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi rakan strategik utama.
Dengan tema “Sayang Malaysia”, Keretapi Sarong 2026 bukan sekadar meraikan pakaian tradisional dan kepelbagaian budaya, malah mengajak rakyat membawa semangat saling menghormati, memahami dan hidup bersama ke dalam kehidupan seharian.


GIPHY App Key not set. Please check settings