All Star Championship (ASC) 2026 bakal menghimpunkan 34 influencer dari sembilan negara untuk merebut kejuaraan serta hadiah keseluruhan bernilai RM200,000 dalam kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober depan.
Bertempat di Flamingo Hotel, Kuala Lumpur, penganjuran kali ini tampil dengan skala lebih besar selepas edisi Malaysia tahun lalu, sebelum kejohanan tersebut diperluaskan ke Dubai pada April lalu.
Peserta dari Malaysia, Indonesia, India, Pakistan, Filipina, Vietnam, Jepun, Nigeria dan Morocco bakal menyertai pertandingan berkenaan, sekali gus mempertemukan komuniti influencer antarabangsa dalam satu gelanggang.
BUZZ RINGKAS
SIAPA: 34 influencer dari sembilan negara
APA: All Star Championship 2026 (ASC 2026)
BILA: 17 Oktober 2026
DI MANA: Flamingo Hotel, Kuala Lumpur
HADIAH: RM200,000 secara keseluruhan
OBJEKTIF: Menggabungkan sukan, dunia digital, hiburan dan pelancongan, selain mempromosikan Malaysia sebagai destinasi acara antarabangsa.
ASC Perluas Gabungan Sukan Dan Pelancongan

Ketua Pegawai Eksekutif All Star Championship, Dato’ Abd Rahman Soltan berkata, pihaknya mahu ASC berkembang melangkaui sebuah kejohanan melibatkan influencer semata-mata.
Sebaliknya, penganjuran tersebut turut menggabungkan elemen sukan, digital, hiburan dan pelancongan bagi memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada peserta serta penonton.
“Tahun ini kita mahu bawa ASC ke satu tahap yang lebih besar. Kita menghimpunkan 34 influencer dari lapan negara dan masing-masing datang dengan karakter, komuniti serta kekuatan tersendiri,” katanya.
“Selepas edisi Malaysia tahun lalu dan Dubai pada April, jangkaan untuk ASC 2026 memang tinggi dan kita mahu memastikan pengalaman yang diberikan kepada peserta serta penonton juga lebih besar. Semestinya persediaan kami juga penting,” tambahnya.
Menurut beliau, pengaruh digital yang dimiliki peserta mampu membantu memperluaskan capaian kejohanan tersebut menerusi media sosial.
Pada masa sama, platform ASC dilihat berpotensi memperkenalkan Malaysia dari sudut makanan, budaya dan destinasi pelancongan, khususnya sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
“Influencer hari ini mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam dunia digital dan sukan,” ujarnya.
“Dalam masa sama, kita mahu gunakan platform ini untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi acara antarabangsa, terutama boxing championship.
“Malah, ini juga dapat mempromosikan VM2026 secara digital terus kepada dunia,” katanya.
Senarai Peserta Dari Pelbagai Negara

Antara peserta yang bakal berentap mewakili Malaysia ialah Amir Harris, Jai JMT, Mikha, Fareez, Ikmal Dany, Ijat Separuh Rempit, Arai, Fariq Mcfly, Adan, Smokey MJ, Cemanzz, Dan, Raheem Hakim, Royspark dan Oyot.
Indonesia pula diwakili Chima, Kumala, Wawan, Cogan, Ayu Aulia, Elsa Nabila dan Abdi.
Turut menyertai kejohanan tersebut ialah Gulfishan dari India, Abrar, Zainab dan Hira dari Pakistan, Altina dari Filipina, Filip dari Vietnam, Takaharu dari Jepun serta KRU dan Hicham dari Morocco.
Kehadiran peserta dari latar belakang serta komuniti digital yang berbeza dijangka menambahkan kepelbagaian kepada pertandingan ASC 2026.
Peserta Diingatkan Utamakan Persediaan

Dalam perkembangan sama, Dato’ Abd Rahman menegaskan bahawa persediaan peserta menjadi antara aspek penting yang diberi perhatian pihak penganjur.
Katanya, status sebagai influencer tidak boleh dijadikan satu-satunya sandaran apabila mereka melangkah ke gelanggang kerana setiap peserta perlu memiliki disiplin serta komitmen seorang atlet.
“Kita mahu peserta datang dengan persediaan yang betul. Mereka mungkin dikenali sebagai influencer di media sosial, tetapi apabila masuk ke gelanggang, mereka perlu mempunyai disiplin, komitmen dan persediaan seorang atlet,” katanya.
Beliau berkata, mesej tersebut turut ditujukan kepada golongan muda supaya pengaruh digital dapat dimanfaatkan untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat.
“Itulah mesej yang kita mahu bawa kepada generasi muda — bahawa pengaruh digital juga boleh digunakan untuk menggalakkan gaya hidup aktif, disiplin, kecergasan dan keberanian mencabar diri,” ujarnya.
Rekod Kejuaraan Edisi Terdahulu
Pada edisi All Star Championship 2025, tiga pempengaruh iaitu Imranul Afeendy, Mat Alip dan Fareez Fauzi muncul sebagai juara dalam kategori masing-masing.
Sementara itu, bagi edisi Dubai, aktres Trisha Ooi bersama Amir Harris, Bombitta dan Nendi turut mencatat kejayaan apabila menewaskan lawan masing-masing dalam kategori yang disertai.
Dengan penyertaan influencer antarabangsa, hadiah keseluruhan RM200,000 serta gabungan elemen sukan, digital, hiburan dan pelancongan, ASC 2026 bakal meneruskan usaha memperluaskan kejohanan tersebut ke pentas yang lebih besar.


GIPHY App Key not set. Please check settings