in ,

Maria Tunku Sabri Akui Menangis Sendirian, Tidak Mahu Bebankan Suami Dan Anak-Anak

Bintang Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026), Maria Tunku Sabri mengakui ada waktunya dia terguris dengan komen yang diterima sepanjang menyertai program tersebut, namun memilih untuk menghadapinya secara peribadi.

Walaupun berdepan pelbagai kecaman, Maria tetap berusaha mengekalkan sikap positif dan tidak mahu memperlihatkan emosinya terutama di hadapan suami serta anak-anak.

Menurutnya, dia lebih selesa memendam perasaan dan menangis seorang diri daripada membebankan orang terdekat dengan masalah yang sedang dihadapi.

BUZZ RINGKAS

SIAPA: Maria Tunku Sabri

APA: Maria berkongsi pendekatannya dalam berdepan kecaman sepanjang menyertai KES2026.

BILA: Selepas tersingkir pada konsert suku akhir KES2026, Sabtu malam.

MENGAPA: Maria memilih untuk kekal positif dan tidak mahu membebankan suami serta anak-anak dengan masalahnya.

NASIHAT: Netizen disaran menjaga adab dan menggunakan mesej peribadi jika mahu menyampaikan teguran sensitif.

TURUT TERSINGKIR: Rashdan Baba turut terhenti pada konsert suku akhir.

“Memang saya begini, saya seorang yang sangat positif. Walau orang beri sesuatu yang negatif, saya pulangkan dengan cara positif. Hidup kita tidak lama, jadi janganlah kumpul dosa,” katanya.

Maria turut mengakui bahawa dirinya tetap mempunyai perasaan dan boleh tersentuh dengan kata-kata orang lain. Bagaimanapun, dia memilih untuk melalui detik tersebut secara bersendirian.

“Ada juga terasa hati. Saya akan menangis bila bersendirian seperti ketika sedang mandi. Saya tidak mahu susahkan orang lain terutama suami dan anak-anak. Biarlah saya lalui seorang dan saya suka gembirakan semua orang,” ujarnya.

Maria berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas namanya diumumkan tersingkir pada konsert suku akhir KES2026 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada malam Sabtu.

Minta Netizen Jaga Adab Ketika Memberi Komen

Dalam pada itu, Maria berharap sikapnya yang sentiasa ceria dapat memberi pengajaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menyampaikan pandangan di media sosial.

Dia berpendapat teguran berkaitan perkara sensitif tidak semestinya perlu dilakukan secara terbuka kerana tindakan tersebut berisiko mengaibkan individu yang menjadi sasaran.

“Saya nak nasihat sikit kepada netizen kalau nak komen yang melampau atau sensitif boleh sahaja DM (direct message). Tak perlu nak secara terbuka letak di media sosial sebab ia boleh mengaibkan seseorang,” katanya.

Bagi Maria, setiap individu perlu memahami kepentingan adab ketika berkomunikasi, khususnya apabila mahu menegur atau memberikan komen terhadap orang lain.

“Saya cuba nak beri pengajaran kepada netizen bahawa kita ada adab, ikutlah cara yang betul. Saya boleh terima, tetapi mungkin tidak bagi orang lain,” ujarnya.

Anggap KES2026 Sebagai Peluang Lengkapkan Kerjaya Seni

Mengulas mengenai penyertaannya dalam KES2026, Maria berkata dirinya sudah bersedia menerima apa sahaja keputusan, termasuk kemungkinan tersingkir daripada pertandingan.

Walaupun langkahnya terhenti pada peringkat suku akhir, dia menganggap pengalaman tersebut sebagai satu peluang untuk mencuba bidang baharu dan menambah pengalaman dalam perjalanan kerjayanya.

Maria yang pernah bergelar pengacara dan pelakon turut berseloroh bahawa penyertaannya dalam program berkenaan melengkapkan lagi pengalaman seninya sebagai penyanyi.

“Sekarang saya boleh berpuas hati sebab dah jadi pengacara, pelakon dan penyanyi. Mungkin selepas ini boleh tambah bidang jadi pelawak,” katanya secara berseloroh.

Dia juga melihat pengalaman tersebut sebagai satu kelebihan sekiranya menerima tawaran mengendalikan program selepas ini.

“Selepas ini jika menerima tawaran sebagai pengacara boleh tambah pakej menyanyi. Saya sudah ada lima susunan lagu yang boleh dinyanyikan,” ujarnya.

Maria Dan Rashdan Baba Tersingkir

Selain Maria Tunku Sabri, seorang lagi peserta, Rashdan Baba turut mengakhiri saingan pada konsert suku akhir KES2026.

Kedua-dua bintang tersebut tidak berjaya meneruskan perjuangan ke peringkat separuh akhir program berkenaan.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Fikry Ibrahim Sahkan Sudah Bercerai Sejak April