Pelakon Fikry Ibrahim mengesahkan bahawa perkahwinannya bersama Siti Khalizah Alihan telah berakhir selepas mereka bercerai pada April lalu.
Fikry atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram, dengan menjelaskan bahawa dia memerlukan masa sebelum bersedia untuk bercakap mengenai perpisahan berkenaan.
“Dengan izin Allah, saya ingin berkongsi bahawa saya dan bekas isteri berpisah sejak 173 hari yang lalu,” katanya.
BUZZ RINGKAS
SIAPA: Fikry Ibrahim dan Siti Khalizah Alihan
APA: Fikry mengesahkan perkahwinan mereka telah berakhir selepas perceraian pada April lalu.
BILA: Mereka berpisah sejak 173 hari sebelum perkongsian dibuat.
MENGAPA: Fikry mengambil masa untuk mencari ketenangan, mengumpul kekuatan dan menerima ketentuan Allah.
PERKEMBANGAN: Fikry tidak menyalahkan sesiapa dan mendoakan kehidupan yang lebih baik buat mereka berdua.
Bekas pengacara Melodi itu berkata, tempoh berdiam diri yang diambil bukan bertujuan untuk menyembunyikan apa yang berlaku, sebaliknya dia mahu melalui fasa tersebut secara tenang sambil menguatkan diri.
“Saya memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.
“Bukan kerana mahu menyembunyikan, tetapi kerana saya perlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuan-Nya,” ujarnya.
Terima Perpisahan Tanpa Menyalahkan Sesiapa

Dalam kenyataan yang sama, Fikry memilih untuk tidak membuka sebarang aib atau meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak atas berakhirnya hubungan tersebut.
Menurutnya, setiap hubungan mempunyai perjalanan tersendiri dan dia menerima hakikat bahawa kehidupan mereka kini menuju arah yang berbeza.
“Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang Allah izinkan untuk kita tempuh bersama, dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza,” katanya.
Fikry turut memohon agar dirinya dikurniakan ketenangan, kekuatan serta kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan selepas melalui perubahan besar berkenaan.
“Saya juga berdoa agar Allah memberikan saya ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Siti Khalizah Tetap Sebahagian Daripada Kenangan

Walaupun hubungan mereka sebagai suami isteri sudah berakhir, Fikry mengakui Siti Khalizah pernah menjadi insan penting dalam hidupnya.
Dia memilih untuk mengingati bekas isterinya dengan perasaan penghargaan, selain menitipkan doa terhadap segala perkara yang pernah mereka lalui bersama.
“Walaupun kini kami tidak lagi bersama, dia tetap pernah menjadi seseorang yang saya cintai dan pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.
“Untuk itu, saya memilih untuk mengenangnya dengan doa, dan terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya,” katanya.
Pada penghujung perkongsian, Fikry mendoakan agar mereka berdua terus berada dalam perlindungan Allah serta diberikan keampunan atas segala kekurangan sepanjang menjalani kehidupan.
“Semoga Allah menjaga kita masing-masing, mengampuni segala kekurangan dan menggantikan setiap yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik,” ujarnya.
Pernah Berdepan Permohonan Cerai

Fikry dan Siti Khalizah mendirikan rumah tangga pada 12 Februari tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Jitra, Kedah.
Bagaimanapun, beberapa bulan selepas pernikahan, Siti Khalizah dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap Fikry di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman.
Pada Jun lalu, Siti Khalizah dilaporkan menarik semula permohonan cerai yang telah difailkannya.



GIPHY App Key not set. Please check settings