Fenomena Alpha terus memuncak apabila kesemua tiket konsert sulung mereka, The First Wave Concert, habis dijual dalam tempoh kurang dua jam selepas jualan dibuka pada tengah hari ini.
Lebih mengagumkan, kategori VIP Standing habis dijual dalam masa seminit, manakala tempat duduk (Seating) pula licin hanya tiga minit selepas jualan bermula pada jam 12 tengah hari, sekali gus membuktikan sokongan luar biasa peminat terhadap kumpulan M-pop yang sedang mencipta nama itu.
Kumpulan Alpha.
APA
Semua tiket The First Wave Concert habis terjual.
BILA
19 Julai 2026.
DI MANA
Zepp Kuala Lumpur (konsert berlangsung pada 26 September 2026).
KENAPA
Sambutan luar biasa daripada peminat membuktikan pengaruh Alpha semakin kukuh dalam industri M-pop.
Sambutan Luar Jangkaan
Pengumuman konsert pertama Alpha yang bakal berlangsung pada 26 September 2026 di Zepp Kuala Lumpur menerima sambutan luar biasa sejak diumumkan.
Sebaik sahaja jualan tiket dibuka, ribuan peminat dilihat membanjiri platform jualan sehingga menyaksikan kategori eksklusif, VIP Standing, habis dijual dalam tempoh hanya seminit.
Tidak lama kemudian, kategori tempat duduk turut mencatat status sold out dalam masa tiga minit, sebelum keseluruhan tiket konsert habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Bukti Fenomena Alpha
Pencapaian itu mengukuhkan lagi status Alpha sebagai antara kumpulan M-pop paling hangat ketika ini.
Dilahirkan menerusi Big Stage Alpha 2025, Alpha yang dianggotai Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Afiq Sky terus meraih perhatian menerusi lagu-lagu seperti Mona Lisa, P. Ramlee Saloma, Gelato, Bujang dan Tiada Pengganti.
Baru-baru ini, mereka turut melancarkan album sulung The First Wave, yang menghimpunkan 12 buah lagu dan menjadi simbol perjalanan seni mereka sepanjang setahun dalam industri.

Peminat Tak Sabar Bertemu Alpha
Sambutan luar biasa terhadap jualan tiket jelas membuktikan peminat tidak sabar untuk menyaksikan persembahan penuh Alpha di pentas konsert pertama mereka.
Konsert The First Wave Concert dijangka menjadi pentas terbesar buat tujuh jejaka itu untuk mempersembahkan lagu-lagu hit serta karya daripada album sulung mereka secara langsung buat ribuan peminat.
Dengan semua tiket habis dijual dalam masa singkat, ramai kini mula berharap agar satu lagi tarikh konsert diumumkan bagi memenuhi permintaan peminat yang tidak sempat mendapatkan tiket.



GIPHY App Key not set. Please check settings