Selepas sekian lama menyepi daripada industri muzik, Altimet akhirnya kembali berkarya menerusi lagu Pegang Tangan bersama penyanyi muda, Adam Nuqris.
Lagu yang dilancarkan pada Mei lalu itu terus mendapat perhatian ramai kerana mesejnya yang menyentuh hati serta pendekatan yang sederhana tetapi penuh makna.
BUZZ RINGKAS
SIAPA
Altimet dan Adam Nuqris.
APA
Altimet kembali berkarya dalam muzik menerusi lagu Pegang Tangan.
BILA
Dilancarkan pada Mei 2026.
DI MANA
Semua platform penstriman digital.
KENAPA
Sebagai karya jujur yang lahir daripada pengalaman dan emosi sebenar.
Bukan Projek Yang Dirancang
Menariknya, Pegang Tangan bukan dihasilkan sebagai sebuah projek komersial yang dirancang sejak awal.
Sebaliknya, lagu itu berasal daripada koleksi arkib penulisan Altimet sebelum diberikan nafas baharu bersama Adam Nuqris.
Malah, kemunculan semula Altimet dalam dunia muzik terlebih dahulu terbongkar apabila Adam secara tidak sengaja mendedahkan kewujudan lagu tersebut ketika sesi temu bual bersama sebuah stesen radio pada Mei lalu.
Kisah Kasih Sayang Seorang Anak
Pegang Tangan mengangkat kisah hubungan antara ibu dan anak yang berkembang mengikut perjalanan hidup, daripada zaman kanak-kanak sehinggalah saat apabila anak pula mengambil peranan menjaga ibu bapanya.
Disampaikan dengan pendekatan yang sederhana, lagu ini lebih menekankan kejujuran emosi tanpa perlu bergantung kepada elemen dramatik.
“Lagu ini datang dalam keadaan yang sangat organik. Ia bukan tentang kembali semula secara besar-besaran, tetapi lebih kepada satu karya yang jujur, lahir daripada momen dan perasaan sebenar.
“Kadang-kadang lagu yang paling ringkas itulah yang paling dekat di hati,” kata Altimet.
Kolaborasi Dua Generasi
Lagu ciptaan Altimet dengan susunan muzik oleh Mas Dewangga itu turut menyatukan dua generasi pemuzik menerusi gandingan bersama Adam Nuqris.
Menurut Adam, peluang bekerjasama dengan figura yang banyak berjasa dalam industri muzik tempatan itu menjadi pengalaman yang sangat bermakna buat dirinya.
“Bagi saya, ini bukan sekadar kolaborasi. Ia adalah ruang untuk belajar dan memahami bagaimana sebuah lagu boleh membawa makna yang sangat dalam walaupun disampaikan secara sederhana.
“Saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada karya istimewa ini,” katanya.
Kini Di Semua Platform
Pegang Tangan telah pun dilancarkan di semua platform penstriman digital sejak 8 Mei 2026.
Lagu ini terus mendapat sambutan hangat daripada pendengar yang menghargai karya penuh emosi dan kejujuran daripada Altimet.
GIPHY App Key not set. Please check settings