Aizat Amdan kini tampil dengan sisi muzik berbeza menerusi single terbaharu berjudul Ajar Aku, sebuah kolaborasi bersama Sekumpulan Orang Gila atau lebih dikenali sebagai SOG.
Diterbitkan di bawah Kasi Gegar Entertainment, lagu ini menjadi simbol keberanian dua identiti muzik berbeza yang memilih untuk keluar daripada zon selesa demi menghasilkan karya yang lebih segar dan eksperimental.
Menggabungkan kelembutan melodi pop emosional Aizat bersama tenaga agresif post-hardcore SOG, Ajar Aku hadir sebagai karya pop rock progresif dengan sentuhan alternatif moden dan elemen sinematik.

Aizat Amdan & Sekumpulan Orang Gila.
APA
Pelancaran single “Ajar Aku”.
BILA
Mei 2026.
DI MANA
Semua platform digital utama.
MENGAPA
Menggabungkan dua identiti muzik berbeza dalam satu karya eksperimen.
BAGAIMANA
Dengan gabungan pop soulful, post-hardcore dan elemen sinematik moden.

Tercipta Secara Spontan Dalam Podcast
Menariknya, lagu ini sebenarnya lahir secara spontan ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast” yang dikendalikan sendiri oleh Aizat Amdan.
SOG yang hadir sebagai tetamu episod tersebut akhirnya menjadi sebahagian daripada proses kreatif yang membentuk lagu tersebut secara langsung ketika rakaman podcast berlangsung.
“Kami bermula dengan berbual tentang muzik, perjalanan seni dan pengalaman dalam industri,” kata Aizat Amdan.
“Dalam masa podcast itu juga kami mula membina idea dan akhirnya ‘Ajar Aku’ lahir secara organik daripada sesi tersebut,” katanya.
Peminat juga boleh menyaksikan detik awal penghasilan lagu itu menerusi episod “Dari Studio EP34” di YouTube.

Lagu Tentang Ego Dan Keberanian Belajar
Dari sudut penceritaan, Ajar Aku membawa tema keberanian merendahkan ego demi menerima ilmu, kasih sayang dan tunjuk ajar daripada orang di sekeliling.
Menurut Aizat, lagu tersebut bukan merujuk kepada satu pengalaman spesifik, tetapi gabungan emosi dan pemerhatian sepanjang perjalanan hidup dan kerjayanya.
“Ia adalah tentang manusia yang sedang mencari arah dan tidak malu untuk meminta tunjuk ajar,” katanya.
“Kadang-kadang kita terlalu ego untuk menerima nasihat sedangkan proses belajar itu sendiri adalah sebahagian daripada kehidupan,” katanya lagi.

Gabungan Dua Dunia Muzik Berbeza
Dari aspek muzik, Ajar Aku menjadi titik pertemuan dua karakter bunyi yang sangat berbeza tetapi saling melengkapi.
Karakter vokal soulful Aizat digandingkan dengan vokal agresif Raja Nazrin Shah, sekali gus menghasilkan dinamika unik sepanjang lagu berlangsung.
“Suara saya lebih ‘soulful’ manakala Nazrin pula mempunyai karakter rock yang lebih kasar,” kata Aizat.
“Jadi kami banyak bereksperimen untuk mencari titik tengah supaya kedua-dua identiti itu masih kekal tetapi kedengaran seimbang,” katanya.
Lagu ini turut diperkukuhkan dengan sentuhan produksi daripada Anas Amdan menerusi elemen strings dan tekstur sinematik yang memberikan skala lebih dramatik kepada karya tersebut.

Kemunculan Istimewa Yuna
Antara kejutan terbesar dalam lagu ini pastinya kemunculan istimewa Yuna di penghujung lagu.
Menurut Aizat, ketika proses rakaman berlangsung di Studio KGE, Yuna kebetulan berada di studio sama untuk menyiapkan album terbarunya sebelum terdengar bahagian akhir lagu tersebut.
Menariknya, vokal wanita pada penghujung lagu asalnya hanyalah suara AI yang digunakan sebagai demo sementara.
“Bila Yuna dengar bahagian akhirnya, dia terus kata, ‘Biar saya yang rakamkan bahagian ini,’” ujar Aizat.
“Jadi daripada menggunakan AI, kami dapat sesuatu yang jauh lebih hidup dan bermakna,” katanya.

Eksperimen Muzik Yang Lebih Berani
Bagi Aizat, Ajar Aku bukan sekadar percubaan mencampurkan dua genre berbeza, tetapi usaha memperluaskan landskap muzik tempatan dengan pendekatan lebih terbuka dan berani.
Beliau berharap karya tersebut dapat diterima sebagai eksperimen muzik yang mempunyai nilai artistik tinggi tanpa mengorbankan identiti setiap artis yang terlibat.
“Saya berharap pendengar dapat menerima gabungan bunyi baharu ini dan melihat bahawa muzik tempatan juga mampu bereksperimen tanpa kehilangan emosi dan kejujurannya,” katanya.
“Insya-Allah, saya mahu ‘Ajar Aku’ menjadi lagu yang timeless dan terus relevan walaupun masa berlalu,” katanya lagi.
Single Ajar Aku kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.



GIPHY App Key not set. Please check settings