in ,

Aishah Raikan 40 Tahun Legasi Menerusi Konsert 40 Chapters of Love

Dato’ Aishah bakal meraikan empat dekad perjalanan seninya menerusi konsert solo berskala besar “Aishah 40 Chapters of Love” yang akan berlangsung pada 4 Julai 2026 jam 8 malam di Megastar Arena.

Dianjurkan oleh Vox Nation Live, konsert ini menjadi simbol penting dalam perjalanan seni beliau sebagai antara ikon paling berpengaruh dalam industri hiburan tanah air.

Lebih daripada sekadar persembahan biasa, konsert ini dirangka sebagai pengalaman penuh emosi yang menggabungkan cinta, kenangan dan evolusi seni sepanjang empat dekad perjalanan muziknya.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Dato’ Aishah bersama Vox Nation Live.

APA
Konsert “Aishah 40 Chapters of Love”.

BILA
4 Julai 2026, jam 8 malam.

DI MANA
Megastar Arena, Kuala Lumpur.

MENGAPA
Meraikan empat dekad legasi seni dan perjalanan muzik Aishah.

BAGAIMANA
Melalui konsert solo eksklusif bersama lagu-lagu ikonik dan kemunculan artis jemputan.

Menelusuri 40 Tahun Melalui Lagu Ikonik

Mengangkat konsep penceritaan melalui muzik, setiap segmen konsert akan mewakili fasa berbeza dalam kehidupan dan kerjaya seni Aishah.

Penonton bakal disajikan dengan rangkaian lagu malar segar yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menjadi cerminan memori kolektif generasi peminat.

Antara lagu wajib yang dijangka mengisi malam istimewa ini termasuk “Janji Manismu”, “Camar Yang Pulang” dan “Kemaafan Dendam Yang Terindah”, selain karya lain yang telah lama menjadi soundtrack kehidupan rakyat Malaysia.

Kemunculan Istimewa Ara Johari

Menambah elemen kejutan dan keterujaan, pihak penganjur turut mengumumkan kemunculan penyanyi berbakat, Ara Johari sebagai artis undangan pada malam konsert tersebut.

Gabungan dua generasi suara wanita ini dijangka mencipta momen pentas yang unik, mempertemukan legasi dan suara kontemporari dalam satu persembahan yang segar dan bermakna.

Kehadiran Ara turut memberi warna baharu kepada konsert yang sudah pun dinanti ramai peminat setia Aishah.

Vinyl Eksklusif Edisi Terhad

Sebagai penghargaan kepada peminat setia dan pengumpul karya muzik, sebuah vinyl eksklusif edisi terhad akan dilancarkan bersempena konsert ini.

Dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, keluaran khas ini dijangka menjadi koleksi bernilai tinggi yang meraikan perjalanan seni Aishah dalam bentuk fizikal yang klasik dan abadi.

Ia juga menjadi simbol penghargaan kepada mereka yang terus menyokong perjalanan seni beliau sejak awal pembabitan dalam industri.

Hadiah Buat Peminat Setia

Menjelang konsert ini, Aishah kini giat menjalani persiapan dari segi vokal, mental dan fizikal bagi memastikan setiap persembahan mencapai tahap terbaik.

“Konsert ini adalah hadiah saya buat semua peminat yang telah bersama saya sepanjang perjalanan ini. Saya mahu malam itu menjadi satu pengalaman yang benar-benar bermakna, bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk semua yang hadir dan berkongsi kenangan bersama,” kata Dato’ Aishah.

Pengalaman Konsert Bertaraf Tinggi

Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang berkata konsert ini merupakan satu penghormatan kepada perjalanan seni yang luar biasa.

“Ini bukan sekadar konsert, tetapi sebuah naratif yang hidup di atas pentas. Kami mahu setiap penonton merasai emosi di sebalik setiap lagu, dan pulang dengan pengalaman yang benar-benar meninggalkan kesan,” katanya.

Konsert ini turut mendapat sokongan media rasmi seperti Sinar FM, ERA FM, Mix FM, Lite FM, Gempak dan Meletop yang membantu menyemarakkan lagi kehangatan acara ini.

Tiket Kini Dijual Secara Rasmi

Pihak penganjur turut mengumumkan bahawa jualan tiket kini boleh didapati secara rasmi menerusi platform baharu iaitu Ticketmelon.

Antara kategori tiket yang ditawarkan ialah RM788 untuk VVIP, RM488 bagi VIP dan Janji Manismu (Ladies Zone), RM388 untuk Sensation, RM288 bagi Paradise, RM238 untuk Kasih Kita, RM198 bagi Pulanglah dan RM168 untuk Taman Keabadian.

Peminat boleh mendapatkan tiket melalui platform rasmi Ticketmelon untuk menjadi sebahagian daripada malam eksklusif yang bakal meraikan 40 tahun perjalanan seni Aishah.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Peterpan Kembali! Semua Tentang Kita Gegar KL Julai Ini!

Syamel Ubah Rentak, PERTAMA Permulaan Baru Dalam Karier Muzik