in ,

Syamel Ubah Rentak, PERTAMA Permulaan Baru Dalam Karier Muzik

Penyanyi, Syamel, kembali merancakkan industri muzik tempatan menerusi single terbaharu berjudul “PERTAMA”, sebuah karya segar ciptaan dan terbitan Edry Abdul Halim.

Namun kali ini, kemunculan Syamel membawa sesuatu yang berbeza apabila beliau tampil dengan genre yang jauh berbeza daripada kebiasaan.

Jika sebelum ini Syamel cukup sinonim dengan lagu-lagu balada yang sarat emosi dan vokal tinggi, kini beliau memilih untuk tampil dengan sisi muzik yang lebih groovy, moden dan penuh attitude.

Single ini menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan seninya serta membuka lembaran baharu buat dirinya sebagai penghibur.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Syamel dan Edry Abdul Halim.

APA
Pelancaran single baharu berjudul PERTAMA.

BILA
24 April 2026.

DI MANA
Semua platform penstriman digital.

MENGAPA
Membuka lembaran baharu dan perubahan genre muzik Syamel.

BAGAIMANA
Dengan konsep groovy moden menggantikan gaya balada sebelum ini.

Dari Balada Ke Rentak Lebih Santai

“PERTAMA” mengangkat tema cinta pandang pertama, namun dengan pendekatan yang lebih luas dan terbuka.

Ia bukan sekadar tentang jatuh cinta kepada seseorang, tetapi juga perasaan teruja dan terus “klik” apabila pertama kali melihat sesuatu yang diminati seperti kereta impian, rumah idaman atau apa sahaja yang menyentuh hati.

“Kadang-kadang bila kita tengok sesuatu, terus ada satu perasaan yang susah nak diterangkan, tapi hati kita terus klik. Itulah rasa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” kata Syamel.

Menurutnya, lagu ini meraikan momen spontan yang sukar dijelaskan tetapi cukup kuat untuk mencetuskan rasa bahagia dan harapan.

Edry Mahu Syamel Keluar Dari Zon Selesa

Kerjasama bersama Edry Abdul Halim turut memberi dimensi baharu kepada persembahan vokalnya.

Syamel mengakui proses rakaman kali ini sangat berbeza kerana Edry mahu beliau meninggalkan gaya nyanyian biasa dan membawa energi yang lebih segar.

“Edry banyak tekankan soal feel dan attitude untuk lagu ini. Dia mahu saya tampil dengan energi berbeza, dan itu yang menjadikan ‘PERTAMA’ sangat menarik untuk diterokai,” kata Syamel.

Gabungan bunyi moden bersama elemen vintage menjadikan lagu ini unik serta berbeza daripada karya-karyanya terdahulu.

Video Muzik Penuh Fantasi Dan Sinematik

Melengkapkan naratif lagu ini, video muzik rasmi “PERTAMA” tampil dengan konsep sinematik yang unik.

Ia mengisahkan pertemuan ringkas antara dua orang asing yang berkembang menjadi kisah cinta sempurna sebelum penonton akhirnya menyedari semuanya hanyalah imaginasi yang tercipta dalam sekelip mata.

Konsep ini menggambarkan bagaimana satu detik singkat mampu terasa begitu besar apabila perasaan hadir terlalu kuat.

Ia turut menyerlahkan sisi manis, lucu dan penuh fantasi tentang bagaimana seseorang boleh jatuh cinta pada pandangan pertama.

Video muzik ini juga menampilkan kolaborasi bersama KOL tempatan Aya Amiruddin dan Sharmaine Alexander yang membawa elemen segar dalam penceritaan visual tersebut.

Lagu Istimewa Buat Peminat Setia

Lebih istimewa, “PERTAMA” juga merupakan dedikasi khas buat para peminat setia Syamel yang sentiasa bersamanya sejak awal perjalanan seni.

Mereka dianggap antara insan pertama yang percaya terhadap bakat dan perjuangannya.

“Mereka yang nampak saya sebelum orang lain nampak. Jadi lagu ini saya tujukan buat mereka yang pertama dalam hati saya,” katanya.

Permulaan Era Baharu Syamel

Bagi Syamel, “PERTAMA” bukan sekadar judul lagu tetapi simbolik kepada permulaan era baharu dalam perjalanan muziknya.

Beliau melihat lagu ini sebagai titik mula kepada naratif dan evolusi seni yang bakal dipersembahkan selepas ini.

“Ini adalah permulaan kepada satu perjalanan baharu. Akan ada banyak cerita, emosi dan kejutan yang saya nak kongsi selepas ini,” katanya.

Single “PERTAMA” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026, manakala tarikh pelancaran video muzik rasmi akan diumumkan menerusi media sosial Syamel.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Aishah Raikan 40 Tahun Legasi Menerusi Konsert 40 Chapters of Love

Sudah 30 Minggu Hamil, Amira Othman Bakal Bersalin Awal Julai Ini