Dalam landskap hiburan dan fandom yang semakin berkembang, industri cosplay tempatan bakal mencatat satu lagi detik bersejarah apabila CosCruise: Cosplay Championship at Sea diperkenalkan sebagai pertandingan cosplay pertama seumpamanya di Malaysia yang berlangsung di atas kapal pelayaran.
Dianjurkan oleh StarCruises dengan kerjasama ACG Festiverse dan AniMania Festival, kejohanan unik ini akan berlangsung dari 2 hingga 6 Februari 2026 di atas kapal Star Voyager, melibatkan pelayaran empat malam dari Port Klang dengan persinggahan di Phuket dan Singapura sebelum kembali ke tanah air.
Menariknya, pertandingan ini bukan sekadar memberi peluang kepada cosplayer mempamerkan kreativiti, malah menawarkan pengalaman percutian penuh dengan aktiviti bertemakan cosplay, sekali gus menggabungkan dunia fandom dan pelayaran dalam satu acara berskala antarabangsa.
CosCruise: Cosplay Championship at Sea adalah tentang keseronokan, kreativiti dan meraikan fandom dengan cara yang berbeza, kali ini di laut lepas. Kami teruja mengalu-alukan cosplayer dari Malaysia dan rantau ini untuk pengalaman yang benar-benar luar biasa di atas Star Voyager
Michael Goh, Presiden StarDream Cruises.
StarCruises dengan kerjasama ACG Festiverse dan AniMania Festival.
APA
Kejohanan cosplay pertama Malaysia yang berlangsung di atas kapal pelayaran.
BILA
2 hingga 6 Februari 2026 (penyertaan dibuka 12 Disember 2025 – 12 Januari 2026).
DI MANA
Atas kapal Star Voyager, berlepas dari Port Klang ke Phuket dan Singapura.
MENGAPA
Untuk meraikan kreativiti fandom dan memperkenalkan pengalaman cosplay dalam suasana baharu.
BAGAIMANA
Melalui pertandingan cosplay secara langsung di laut dengan hadiah wang tunai dan pelayaran percuma.
Cosplay Naik Ke Laut Lepas
Cosplayer dari Malaysia dan rantau Asia kini boleh menghantar penyertaan secara dalam talian sehingga 12 Januari 2026, dengan peserta terpilih akan menerima pelayaran percuma bagi menyertai pertandingan secara langsung di atas kapal. Juara utama bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta gelaran CosCruise Champion at Sea yang pertama.

Selain pertandingan utama, para penumpang dan peminat cosplay turut dijanjikan pelbagai aktiviti bertemakan cosplay sepanjang pelayaran, termasuk sesi pertemuan cosplayer, acara kostum dan hiburan bertaraf antarabangsa.
Lebih Daripada Sekadar Pertandingan
CosCruise merupakan sebahagian daripada rangkaian aktiviti di atas kapal Star Voyager, yang berlabuh di Port Klang dari 19 Disember 2025 hingga 2 Februari 2026. Sepanjang tempoh ini, kapal berkenaan menawarkan pelayaran berkala ke Bintan, Phuket dan Singapura, lengkap dengan pelbagai pilihan penginapan, kemudahan mesra keluarga serta sajian makanan halal di restoran terpilih.

Pakej pelayaran turut merangkumi akses kepada taman permainan air, zipline, teater, acara bertema dan persembahan antarabangsa, menjadikan CosCruise sebahagian daripada pengalaman percutian yang lebih menyeluruh.
Fandom Dan Pelayaran Dalam Satu Destinasi
Dengan gabungan hiburan fandom dan pengalaman pelayaran, CosCruise dilihat sebagai satu pendekatan baharu dalam menarik komuniti cosplay serta peminat budaya pop untuk menikmati percutian yang lebih interaktif dan berkonsepkan minat bersama.

Penganjur menjangkakan acara ini bukan sahaja membuka dimensi baharu kepada industri cosplay tempatan, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab hiburan kreatif dan pelancongan berkonsepkan pengalaman.



GIPHY App Key not set. Please check settings