Siri TikTok popular Di Sebalik Permata kembali dengan musim baharu yang lebih dramatik, penuh kejutan dan ketegangan emosi. Selepas mencatat lebih 70 juta tontonan untuk musim pertamanya, drama ini kini muncul semula dengan plot yang lebih gelap dan watak yang lebih kompleks.
Musim kedua menyambung kisah watak utama, Natasya (lakonan Putri Damia) yang kini mengalami hilang ingatan dan menjadi mangsa manipulasi bekas teman lelakinya, Akmal (Mizy Razuan). Akmal memperdaya Natasya untuk mempercayai bahawa mereka masih menjalin hubungan, meskipun realitinya tidak begitu.





Rayhan (Umar Mukhtar), suami sebenar Natasya yang mencintainya sepenuh hati, kini berjuang untuk mengembalikan kepercayaan isterinya dan menyelamatkannya daripada perangkap psikologi yang dibina oleh Akmal. Tambahan pula, kemunculan watak baharu misteri menambahkan lagi konflik dalam jalan cerita musim ini.
Sutradara Faiz Munir menjelaskan bahawa tiga episod baharu akan disiarkan setiap hari menerusi akaun rasmi @tiktokdramamalaysia. Menurutnya, musim baharu ini tidak hanya membawa kisah cinta yang lebih emosional, tetapi juga disulami elemen thriller dan kejutan demi kejutan yang sukar dijangka.
“Musim ini dirangka dengan banyak cliffhanger, peminat perlu bersedia emosi,” katanya, sambil menyatakan bahawa penulisan skrip untuk musim kedua ini mengambil masa yang lebih lama kerana mahu memberi penghargaan kepada penonton setia musim pertama.
Penerbit dari Mantayay Sdn Bhd turut menyuarakan harapan agar musim ini akan mendapat sambutan lebih hangat memandangkan penceritaannya lebih matang, dengan pendekatan yang lebih sinematik walaupun masih dalam format pendek TikTok.
“Kalau musim pertama pun sudah buat ramai penonton berperang di ruang komen, musim kedua ini mungkin lebih menggila,” ujarnya. “Kami bawakan elemen yang lebih gelap, manipulasi, fasa hilang ingatan, cinta toksik, dan watak baru yang misteri.”
Tidak hanya itu, menurut penerbit, penghasilan musim kedua ini turut melibatkan pelaburan yang lebih besar dari segi sinematografi, muzik latar dan rekaan produksi, bagi memastikan setiap episod berdurasi pendek itu mampu meninggalkan impak kuat kepada penonton.
Drama Di Sebalik Permata pertama kali dilancarkan pada Januari 2024 sebagai siri Melayu pertama di TikTok Malaysia. Ia mencipta fenomena menerusi gaya penyampaian kontemporari, penceritaan yang berani dan dekat dengan realiti masyarakat hari ini. Populariti yang diraih juga membuka ruang kepada lebih banyak produksi tempatan untuk mencuba platform baharu seperti TikTok sebagai medium penstriman utama.





Sinopsis Musim Kedua
Natasya, yang hilang ingatan, diculik oleh bekas teman lelaki obsesif, Akmal. Dia dimanipulasi untuk mempercayai mereka masih bersama. Sementara itu, Rayhan, suami sebenar Natasya, cuba menyelamatkannya dan membongkar kebenaran.
Kemunculan jejaka baharu menambah kekeliruan dan Natasya perlu memilih antara dua dunia yang bercanggah. Musim ini memperlihatkan konflik dalaman, pendedahan mengejutkan dan kisah cinta yang tidak dapat dijangka.
📌 Info Tayangan
- Tarikh Tayangan: Bermula 6 Jun 2025
- Format: 3 episod baharu setiap hari
- Platform: TikTok – @tiktokdramamalaysia



GIPHY App Key not set. Please check settings