Pelakon Fadlan Hazim, 34, mengambil keputusan memadam akaun Threads miliknya kerana mahu menjaga kesihatan mental dan mengelakkan diri daripada terdedah kepada pelbagai kandungan negatif yang dikongsikan pengguna di platform berkenaan.
Menurut Fadlan, suasana media sosial yang dipenuhi kecaman, pertelingkahan dan luahan masalah peribadi membuatkan dia memilih untuk menjauhkan diri daripada platform itu.
BUZZ RINGKAS
SIAPA: Fadlan Hazim
APA: Memadam akaun Threads miliknya untuk menjaga kesihatan mental.
MENGAPA: Tidak mahu terdedah kepada kandungan negatif, kecaman dan masalah peribadi yang dikongsikan pengguna lain.
PLATFORM PILIHAN: TikTok dan YouTube untuk hiburan, maklumat serta perkongsian berkaitan minat dan perniagaan.
PERKEMBANGAN: Masih menggunakan Instagram untuk berkongsi perkembangan kerja dan berinteraksi dengan kira-kira 310,000 pengikut.
Tidak mahu menambah beban fikiran
Fadlan berkata, dia lebih gemar menggunakan media sosial sebagai ruang untuk menghiburkan diri serta mendapatkan dan berkongsi maklumat yang bermanfaat.
Baginya, membaca masalah orang lain ketika dirinya sendiri mempunyai tanggungjawab dan cabaran peribadi hanya akan menambahkan beban fikiran yang tidak diperlukan.
“Orang saling mengecam, mengadu domba dan berkongsi masalah mereka di platform berkenaan.
“Saya pula menggunakan media sosial untuk menghiburkan diri dan berkongsi ilmu-ilmu yang bermanfaat.
“Saya tidak mahu terjebak dengan persekitaran negatif, mendengar masalah orang lain sedangkan saya pun ada masalah sendiri yang perlu diselesaikan.
“Saya tak perlu tambah masalah. Sebab itulah saya beralih ke TikTok dan Youtube kerana banyak perkara menarik dan membangun minda yang terdapat di platform berkenaan,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu ketika pelancaran filem Takluk 2: Op Daulat yang berlangsung di Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur, petang tadi.
Hormati pilihan orang berkongsi masalah rumah tangga
Dalam pada itu, Fadlan tidak menafikan setiap pengguna mempunyai kebebasan untuk berkongsi hal peribadi di media sosial, termasuk isu berkaitan rumah tangga.
Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak mengikuti perkembangan sedemikian kerana mahu memberikan perhatian kepada kehidupan dan masalahnya sendiri.
“Cuma saya ambil pendekatan untuk tidak membaca perihal rumah tangga orang lain kerana saya juga ada rumah tangga dan masalah sendiri yang perlu diberi perhatian.
“Tapi bagi yang berkongsi hal rumah tangga mereka itu adalah pilihan masing-masing,” ujarnya.
Lebih selesa menggunakan TikTok dan YouTube
Selain menjauhkan diri daripada kandungan yang dirasakan negatif, Fadlan turut menjelaskan bahawa TikTok dan YouTube kini menjadi platform pilihannya untuk berhibur, mendapatkan maklumat serta berkongsi minat dengan pengikut.
Kedua-dua platform itu juga digunakan bagi menyokong aktiviti perniagaannya.
“Saya sekarang lebih banyak menggunakan TikTok dan Youtube kerana aktiviti perniagaan selain dan berkongsi minat dengan pengikut di media sosial.
“Saya jarang menggunakan Instagram kerana Algoritma sudah berubah. Pada masa sama, platform tersebut menjadi tempat untuk pengguna berkongsi kisah kehidupan sempurna tanpa mendedahkan cerita disebaliknya.
“Boleh katakan, pengguna tidak telus kerana mereka kongsikan perkara yang indah sahaja. Hal ini berbeza dengan kandungan di TikTok dan Youtube,” kongsinya.
Instagram masih digunakan untuk urusan kerja
Walaupun kurang aktif di Instagram, Fadlan tidak meninggalkan platform itu sepenuhnya.
Sebaliknya, dia masih menggunakannya untuk mengemas kini perkembangan kerjaya dan berinteraksi dengan pengikutnya yang berjumlah kira-kira 310,000 orang.
Keputusan Fadlan memadam Threads mencerminkan pilihannya untuk lebih selektif terhadap kandungan yang diikuti, selain mengutamakan platform yang dirasakan lebih sesuai dengan keperluan peribadi dan kerjayanya.



GIPHY App Key not set. Please check settings