Sempena pelancaran album sulung mereka, Peluru Cokelat, kumpulan rock tempatan BARBARIK bakal tampil dengan konsert istimewa bertajuk BARBARIK Pentas Peluru Cokelat. Konsert tersebut akan berlangsung pada 28 Jun 2025, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini menandakan detik penting dalam perjalanan muzik BARBARIK, yang kini tampil dengan karya sepenuhnya hasil ciptaan mereka sendiri. Walaupun kumpulan ini baru ditubuhkan pada tahun 2022, mereka sudah menampilkan persembahan bertenaga menerusi empat konsert terdahulu, termasuk Pentas Keras dan Double Trouble bersama Search. Namun, Pentas Peluru Cokelat adalah kali pertama mereka membawakan sepenuhnya lagu-lagu daripada album sendiri kepada khalayak.

Menurut pemain gitar, JoBranko, konsert ini akan berdurasi dua jam dan menampilkan sekitar 20 buah lagu — gabungan antara karya baharu dan lagu-lagu lama. Beliau turut menjanjikan pengalaman persembahan yang sarat dengan kejutan dari awal hingga akhir.
“Kami tidak mahu sekadar mengimbas sejarah lama. Dengan album ini, kami memperkenalkan identiti sebenar BARBARIK,”
– JoBranko.
Tentang Album Peluru Cokelat
Dilancarkan pada 9 November 2024, album ini membawa elemen rock era 80-an dan 90-an, menandakan komitmen serius BARBARIK dalam industri muzik tempatan. Ia mengandungi tujuh buah lagu termasuk Peluru Cokelat, Golok Kayu (bersama Karl Cromok), Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya dan Gelap Nan Terang (instrumental).

Menariknya, lagu Peluru Cokelat dipilih sebagai judul utama kerana mewakili semangat zaman kini, termasuk konflik kemanusiaan yang berlaku di Palestin. Proses mastering album dilakukan di Australia oleh Don Bartley, dan turut melibatkan pemuzik undangan seperti Karl Cromok dan Adi Yamin.
Album ini turut dikeluarkan dalam empat format berbeza: cakera padat, piring hitam, kad USB, serta versi digital melalui emel. Menurut JoBranko, keputusan ini dibuat bagi memenuhi permintaan peminat yang masih menghargai format fizikal sebagai koleksi peribadi.
Sejarah BARBARIK
Nama BARBARIK diambil sempena album Mr. Barbarik (2000) oleh kumpulan WINGS, yang diterbitkan oleh JoBranko dan menampilkan Muss sebagai vokalis. Kini, dua figura utama album tersebut – Muss dan JoBranko – menyatukan semula tenaga dalam BARBARIK bersama Rozaimi (bass) dan Ainol (dram).

Inspirasi nama BARBARIK berasal dari epik Mahabharata, merujuk kepada satria hebat bernama Barbarik yang memiliki kekuatan luar biasa. Nama ini mencerminkan semangat perjuangan dan kesetiaan – nilai-nilai yang turut menjadi asas dalam karya dan persembahan kumpulan ini.

Info Konsert:
BARBARIK Pentas Peluru Cokelat
📍 Zepp Kuala Lumpur
📅 28 Jun 2025 (Sabtu)
🕣 8.30 malam
🎟️ Harga Tiket:
CAT 1 Free Standing – RM150
CAT 2 VVIP Seating – RM380
CAT 3 VIP Seating – RM280
VIP Box + Meet & Greet – RM8,000
Meet & Greet Sahaja – RM100
📲 Tiket boleh dibeli di: ilassotickets.com 📦 Dapatkan album Peluru Cokelat melalui akaun rasmi Shopee: Pentas Barbarik Store

Konsert ini dianjurkan oleh Karri Talk Production bersama Pentas Barbarik Sdn. Bhd. dan bakal menjadi sebuah persembahan yang memperkukuh lagi kedudukan BARBARIK dalam arena muzik tanah air.
GIPHY App Key not set. Please check settings