Sesuatu yang menarik dan mengujakan sedang menuju ke Singapura. Dua kumpulan legenda yang namanya terkenal di seluruh Nusantara akan bersatu pada satu malam yang penuh dengan kenangan untuk peminat-peminat mereka.
Exists X Slam Live In Singapore. Nama konsertnya ringkas namun menggabungkan dua nama besar dalam industri muzik. Untuk pertama kalinya dan dengan sesuatu yang istimewa, Exists X Slam akan tampil bersama dalam konsert perdana mereka di The Star Theatre Singapura pada 29 November 2025.

Dibawakan khas oleh Shiraz Projects, Exists X Slam menandakan bahawa kedua-dua kumpulan ini masih relevan walaupun banyak kumpulan baru muncul. Karya-karya Exists dan Slam tetap hidup dan terus disukai walaupun telah lebih dua dekad dalam industri muzik.
“Ada yang bertanya mengapa Exists X Slam? Kenapa tidak? Bukan kerana kedua-dua kumpulan ini tidak boleh berdiri sendiri atau menarik penonton mereka masing-masing untuk memenuhkan The Star Theatre. Bukan juga kerana Shiraz Projects meragui kejayaan konsert ini.
“Namun, sebagai penganjur, Shiraz Projects mahu memberi penghargaan kepada Exists dan Slam dengan penganjuran konsert yang istimewa ini kerana karya mereka masih digemari dan berpengaruh kepada peminat walaupun sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam industri.

“Jadi, mengapa tidak melaksanakan projek istimewa ini selepas kedua-duanya bersetuju? Kami rasa ia adalah peluang yang terlalu berharga untuk dilepaskan kerana Exists dan Slam sangat istimewa dengan sejarah mereka yang tersendiri,” kata Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shiraz.

Shiraz juga menambah bahawa sejarah panjang kedua-dua kumpulan ini sejak tahun 90-an menjadikan Exists X Slam sebagai konsert yang sangat istimewa. Walaupun beberapa kali bertukar anggota, termasuk vokalis, Exists dan Slam tetap berjaya mempertahankan reputasi mereka berkat sokongan peminat yang tidak pernah pudar. Selain itu, kedua-duanya juga telah menerima banyak pengiktirafan sepanjang perjalanan muzik mereka.
“Siapa yang tidak kenal lagu-lagu seperti Mengintai Dari Tirai Kamar atau Gerimis Mengundang? Sekali dengar, peminat akan tahu bahawa lagu-lagu ini dengan suara dan ciri muzik yang khas adalah milik Exists atau Slam.
“Jadi, Shiraz Projects ingin mempersembahkan lagu-lagu terkenal ini yang biasanya didengar melalui radio, dipersembahkan secara langsung di hadapan anda semua,” tambah Shiraz.
Exists X Slam juga akan membawa peminat kembali ke zaman silam. Ikuti alunan suara Ezad dari Exists dengan lagu-lagu seperti Oh Ibu, Jesnita, atau Julia. Atau nikmati vokal merdu Zamani dari Slam dengan lagu-lagu seperti Tak Mungkin Berpaling, Kembali Terjalin, atau Rindiani.
Tanpa menjanjikan bulan atau bintang, Exists dan Slam hanya mahu memberikan sebuah konsert yang memberi kesan mendalam dan kenangan manis buat peminat.
“Yang penting bagi kami sebagai penghibur adalah melihat peminat berpuas hati, menyanyi bersama, dan pulang dengan kenangan terbaik dari Exists X Slam di The Star Theatre pada 29 November 2025,” kata Along mewakili kedua-dua kumpulan ini.


Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket dengan kategori Meet & Greet ($258), Diamond ($168), Platinum ($148), Gold ($128), Gold RV ($108), Silver ($108), dan Silver RV ($88). Pembelian tiket dibuka mulai 26 Mac 2025 melalui www.sistic.com.sg atau hubungi talian hotline di +65 6348 5555.



GIPHY App Key not set. Please check settings