Pelakon, Alif Satar yang dikenali dengan kehidupan gaya hidup sihatnya risau andai disalah tafsir apabila terpaksa membawa watak sebagai perokok dalam filem Pulau.
Menurut Alif, dia cuba untuk menukar babak merokok tersebut dengan perkara lain namun terpaksa akur dengan permintaan pengarahnya, Euho.
“Saya tahu yang saya perlu merokok sewaktu sesi membaca skrip lagi namun pada hari pengambaran saya ada rasa tak sedap hati.
“Saya cuba minta pengarah untuk ubah selain dari merokok namun Euho tetap mahukan watak saya untuk merokok.
“Babak tersebut saya buat sebanyak tujuh kali sehinggakan pengarah suruh saya berehat disebabkan saya pening.
“Saya sayang paru-paru saya. Jadi itulah kekurangan saya dalam filem ini”, kata Alif.
Walaubagaimanapun, Alif juga menjelaskan bahawa segala yang dilakukan dalam filem hanyalah lakonan sahaja dan ianya tidak bermaksud dia benar-benar melakukan perkara tersebut.
“Apabila seseorang pelakon itu memegang satu watak, ia sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kehidupan sebenarnya.
“Tak semestinya kalau saya nyanyikan lagu putus cinta maksudnya saya sedang putus cinta.
“Atau apabila saya berlakon membunuh itu tidak bermaksud saya adalah seorang pembunuh.
“Begitu juga apabila saya berlakon filem Pulau ini saya bukanlah apa yang saya lakonkan”, jelas Alif.
Alif akui terasa hati apabila ada yang memberi komen negatif terhadap dirinya disebabkan oleh watak yang dilakonkan.
“Kadang kadang terguris juga hati dengan apa yang orang kata tapi kita tak mahulah cakap.
“Ada kala saya mengadu dengan isteri atau ibu bapa saya, jadi keluarga saya tahu apa yang saya buat di set pengambaran.
“Jadi pemilihan saya untuk merokok itu adalah kerana ianya sesuai dengan babak itu dan ada mesej yang ingin disampaikan.
“Bukanlah merokok sebab karakter sahaja tapi ada sebab kenapa watak tersebut memilih untuk merokok.
“Dengan itu mesej itu sampai dan harapnya penonton dapatlah mesej yang ingin disampaikan”, jelas Alif lagi.
Pulau merupakan filem arahan Euho yang dibarisi pelakon terdiri daripada Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Joey Leong, Evie Feroza, Sanjna Suri, Jazmy Juma dan Vikar.
Filem ini mengisahkan tentang percutian sekumpulan anak muda bertukar menjadi mimpi ngeri yang tidak berkesudahan selepas mereka kalah pertaruhan di sebuah pulau terpencil.
GIPHY App Key not set. Please check settings