Tuesday • 27 July 2021

Terkini

Kisah ‘Tepi Kain’ Artis Warnai Program Terbaharu Astro Prima Mulai 24 Mac

Kalangan artis  antara figura yang sering menjadi tumpuan ramai khususnya yang membabitkan hal peribadi masing-masing al maklumlah kisah-kisah ‘tepi kain orang’ itu memang ramai yang kaki ‘kepoci’ nak tahu.

Tidak hairanlah apa sahaja yang dilakukan mereka menjadi perhatian. Jika itulah yang menjadikan tarikan pembaca barangkali anda boleh menonton program ‘Media Hiburan Throwback’ yang akan memamaparkan ksah-kisah peribadi 15 selebriti  yang belum diketahui ramai.

Mereka berkenaan meliputi Dato’ AC Mizal, Rita Rudaini, Dato’ Rosyam Nor, Erra Fazira, Akim & Stacy, Didie Alias, Dato’ Awie, Linda Onn, Faizal Hussein, Ifa Raziah, Shira & Ijoy, Norman Hakim dan Marsha Milan.

Apa agaknya kisah menarik di sebalik nama-nama artis berkenaan yang dapat ditonton bermula 24 Mac 2021 ini di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam?

“Pelbagai kisah-kisah lama, ragam suka dan duka para artis terbabit akan diceritakan semula yang diperoleh daripada arkib majalah Media Hiburan selama lebih 35 tahun lalu,” ujar Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh.

Menurut beliau, sebelum wujudnya penggunaan laman media sosial yang cukup meluas hari ini, media cetak seperti majalah dan surat khabar merupakan platform perantara paling utama untuk para peminat mendekati artis pujaan mereka bagi mengetahui pelbagai perkongsian peribadi dan eksklusif.

“Walaupun zaman kini sudah berubah dan mula beralih kepada media sosial, namun kualiti perkongsian tersebut masih relevan sehingga hari ini dan mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk divisualkan dalam format kandungan tv,” tambah Norzeha yang yakin ramai lagi penonton yang tidak mengetahui kisah-kisah itu.

Terdahulu, segmen ‘MHThrowback’ mula diterbitkan pada awal tahun lalu versi digital dan disiarkan menerusi platform media sosial Media Hiburan sehingga turut menerima jutaan jumlah tontonan secara keseluruhan. 

“Masih mengekalkan konsep asal, segmen tersebut kini ditambah baik serta diangkat dalam versi program televisyen, tambah Norzeha.

Untuk musim yang pertama kali diterbitkan ini, pengacara televisyen yang juga merupakan personaliti ERA Radin Amir Affendy telah diberi mandat untuk mengendalikan program ‘Media Hiburan Throwback’ selaku hos sepanjang 13 buah episod.

Menerusi program ini, para selebriti akan dikejutkan dengan keratan artikel berserta koleksi gambar lama mereka.

Pelbagai reaksi yang disulami dengan 1001 kisah yang mungkin tidak pernah dikongsikan sebelum ini bakal dibawakan seperti antaranya bagaimana Erra Fazira berkongsi perjalanan hidupnya sejak mula mendapat gelaran Miss Universe hingga digelar Primadona Malaysia dan ‘Hero Malaya’ Datuk Rosyam Nor dikatakan amat mementingkan pasangan heroinnya dalam penggambaran beliau. 

Antara 1,001 kisah menarik lainnya yang dapat ditonton meliputi:

  • Marsha Milan mengaku pernah dilabel sebagai artis lupa daratan oleh peminat selain turut mengimbas kembali perjalannannya sewaktu menyertai program realiti pertama yang mencetus fenomena di Malaysia iaitu Akademi Fantasia.
  • Norman Hakim mendedahkan bagaimana isterinya Memey Suhaiza mula berbaik dengan bekas isterinya, Abby Abadi selepas perhubungan mereka berdepan dengan pelbagai kemelut.
  • Ifa Raziah berkongsi pelbagai cerita menarik yang mungkin ramai tidak tahu dan sempat mengimbau kembali kenangan persahabatan dengan rakan artis seperti Amelina dan Mas Idayu. 
  • Pengacara, Sharifah Shahirah atau Shira rupa-rupanya tidak pernah memasang cita-cita untuk bergelar hos, sebaliknya teringin untuk membuat rakaman lagu dan bergelar penyanyi profesional.
  • Selepas kehilangan bapa yang tercinta, Faizal Hussein mendedahkan yang beliau terpaksa mengambil waktu seketika untuk bersendirian kerana sukar untuk menerima kenyataan tersebut. Faizal juga pernah ‘mengganggu’ penggambaran filem Laksamana Do Re Mi yang mana ia merupakan kali pertama beliau dapat berjumpa dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
  • Kagum dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rita Rudaini mengaku dulu beliau hanya curi-curi tengok ‘Tokti’ ketika sama-sama menjalani penggambaran iklan Pepsi yang masih diingati hingga kini. Rita juga turut membongkar kisah sebenar insiden pergaduhan bersama Lisdawati dan menafikan bahawa lelaki sebagai punca salah faham tersebut.
  • Bermula dengan platform Dewi Remaja, Didie Alias atau lebih dikenali sebagai Lady Gaga Malaysia turut berkongsi pengalaman getir membesarkan 5 cahaya mata.
  • Dato’ Awie dengan kisah hidupnya yang mungkin tidak ramai tahu bahawa dia pernah terkena buatan orang sehingga terlantar di hospital sewaktu bergelar anak seni.
  • Kisah di sebalik bermulanya bibit percintaan dua bintang kelahiran Akademi Fantasia, Akim & Stacy. Salah seorang daripada mereka juga pernah mengalami pengalaman pahit ditipu oleh pengurus sendiri. 
  • Selebriti versatil, Dato’ AC Mizal berkongsi pengalaman jatuh bangun beliau dalam industri hiburan. Bermula dengan karier di awal usia muda dan bagaimana beliau masih kekal relevan hingga kini. 
  • Pernah bergelar penyampai radio yang terkenal, Linda Onn membuka kisah di saat beliau tertekan kerana sering dilanda pelbagai gosip liar. Namun pengalaman tersebut menjadikannya lebih cekal hari ini. 

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

Latest Posts

Video Terkini

Sentiasa bersama F8Buzz

Dapatkan artikel berita, inspirasi, gaya hidup & hiburan terkini, terus ke email anda. DAFTAR SEKARANG!