Wednesday • 22 September 2021

Terkini

‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ Kini Jadi Lagu Selawat Hijjaz

Siapa yang tidak mengenali atau meminati Allahyarham Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee, malah sehingga kini lagu-lagunya malar segar serta masih melekat di jiwa kebanyakan daripada kita termasuk remaja dan kanak-kanak sekali pun.

Lagu ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ (TKSB) antara yang masih mengiang-ngiang  di halwa telinga para peminat satu-satunya seniman  yang tiada tolak tandingnya itu.

Dan antara mereka itu, kumpulan nasyid HIJJAZ tidak terkecuali apabila kembali dengan rakaman lagu ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ bagi mengubati kerinduan peminat P. Ramlee.

Selepas lebih lima tahun tidak muncul dengan single terbaharu, Hijjaz memilih membangkitkan semula siulan lagu popular itu tetapi digubah ke irama selawat dengan judul ‘TKSB 2020’.

“Sewaktu berada di Madinah sekitar 2018, saya mendapa ilham dan terfikir kenapa tidak lagu itu digubah menjadi lagu selawat. Saya berhasrat menukar liriknya yang memuji wanita kepada memanjatkan selawat ke atas Rasullullah,” cerita salah seorang anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam yang merupakan pencetus idea berkenaan malah turut bertindak sebagai penulis lagu, lirik serta penerbitnya.

Selain Isman (kanan) kumpulan Hijjaz dianggotai Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim namun apa yang menariknya Hijjaz tidak bersendirian mendendangkan lagu berkenaan.

Sebaliknya TKSB 2020 menyaksikan kolaborasi julung kalinya kumpulan nasyid yang ditubuhkan sejak 1997 itu bersama tiga bakat muda iaitu duo rap terkenal tanah air, Kmy Kmo dan Lucka Sickta (gambar bawah) serta bekas peserta program realiti Mentor musim ketujuh, Pasya (gambar atas, tengah).

Wow! Lagu lama ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ dah diberikan suntikan elemen Rock Nasyid Rap (RNR) gitu? Tak rosak ke lagu asalnya?

Bercerita lanjut bagaimana kerjasama itu dimeterai, Isman memberitahu disebabkan ketiadaan bajet, hasrat untuk terbitkan lagu selawat itu dipendamkan sehinggalah dapat panggilan telefon daripada Penasihat A&R Domestik Universal Music Malaysia, Hermond Cheng sebelum sambutan Maulidur Rasul tahun lepas.

“Dia tanya adakah saya mempunyai lagu baru, jadi saya pun ceritakanlah mengenai rancangan HIjjaz, dan secara kebetulan pula Universal Music adalah pemegang hak cipta lagu-lagu Tan Sri P. Ramlee, jadi proses kami menjadi mudah apabila Hermond bersetuju. Itulah dinamakan rezeki,” tambah Isman bersyukur.

Sambungnya, beliau turut memberitahu  Hermond untuk  mencari penyanyi rap bagi berkolaborasi dan dicadangkan Kmy Kmo dan Luca Sickta serta Pasya yang mempunyai kehebatan dalam membawakan lagu rock.

“Semoga dengan karya ini, dapat menjadi ladang pahala bukan saja kepada mereka yang turut berselawat apabila mendengarkan lagu kami, malah pahala itu dapat mengalir kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, itulah objektif utama saya. Jadi sepanjang di Masjid Nabawi, saya gunakan kesempatan itu berbual-bual dengan Rasullullah, sambil meminta baginda mengaminkan doa saya. Alhamdulillah setelah hampir tiga tahun, hasrat itu akhirnya termakbul,”  kenang Isman. 

Biarpun kali pertama bergabung, Isman menjelaskan mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mencipta keserasian yang mana proses rakaman dan juga penggambaran muzik video berjaya disiapkan dalam tempoh tidak sampai lima jam.

Sebenanya, TKSB 2020 sudah pun dilancarkan empat bulan lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) proses promosi lagu berkenaan tidak dapat dilakukan. Oleh itu, Hijjaz kini giat untuk mempromosikan lagu berkenaan supaya ia dapat dinikmati oleh lebih ramai pendengar.

Dan dengan rakaman terbaharu ini bermakna lagu ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ sudah ada beberapa  versi antaranya nyanyian Datuk Jamal Abdillah mahu pun oleh penyanyi dan gitaris Logue atau nama sebenarnya, Khairil Ridzwan Annwar (Monologue).

Hebat penangan arwah P. Ramlee kan? Agaknya versi mana pilihan anda?

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

Latest Posts

Video Terkini

Sentiasa bersama F8Buzz

Dapatkan artikel berita, inspirasi, gaya hidup & hiburan terkini, terus ke email anda. DAFTAR SEKARANG!