Pengacaraan di pentas besar ternyata menjadi pengalaman baharu buat Keanu Azman apabila dia mengakui masih mempunyai ruang untuk memperkemaskan penampilannya dalam program Kilauan Emas Selebriti 2026.
Keanu, 29, berkata, pengalaman mengendalikan minggu pertama program berkenaan memberinya banyak perkara untuk dipelajari, terutama dalam membina keserasian bersama rakan pengacaranya, Raja Azura.
Keanu Azman mengakui terdapat kekurangan dalam pengacaraannya ketika minggu pertama Kilauan Emas Selebriti.
MOHON MAAF
Dia turut memohon maaf dan mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan yang berlaku ketika siaran langsung.
MASIH SESUAIKAN DIRI
Keanu mengakui masih mencari keserasian terbaik bersama Raja Azura dan format program tersebut.
AMBIL SEBAGAI PENGAJARAN
Dia memilih untuk menggunakan kritikan membina sebagai panduan bagi memperbaiki mutu pengacaraannya.
MAHU BUKTIKAN KEMAMPUAN
Keanu mahu membuktikan pengacara generasi Gen-Z juga mampu bergandingan dengan pengacara berpengalaman.

“Saya rasa minggu pertama ini, saya dengan Kak Engku (Raja Azura) dah cuba yang terbaik. Kita sudah duduk sekali, beri idea, tapi mungkin masa siaran langsung ada yang tak sehebat masa latihan.
“Benda itu bukan salah Kak Engku, saya memang ambil tanggungjawab untuk segala kekurangan. Jadi saya masih tengah kemaskan keserasian dengan Kak Engku dan rancangan ini.
“Saya memang minta maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan saya sebab saya tahu hari ini banyak kekurangan, tapi saya percaya ia akan bertambah baik setiap minggu, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Kilauan Emas Selebriti, Sabtu lalu.

Keanu Anggap Pengalaman Ini Sebagai Proses Belajar
Menurut Keanu, mengendalikan program utama seperti Kilauan Emas Selebriti memerlukan persediaan yang lebih menyeluruh berbanding tugasan pengacaraan yang pernah dilakukannya sebelum ini.
“Nak kata stres itu tidak, tapi saya kena buat kerja lebih. Ia sangat berbeza dengan pengacara yang saya buat sebelum-sebelum ini. Ini merupakan program utama, jadi saya kena pastikan ada persediaan yang sangat rapi.
“Peserta, lagu-lagu, terma-terma yang digunakan generasi dulu itu semua saya masih tengah belajar. Ini peluang yang baik untuk saya belajar benda baharu di luar zon selesa sendiri,” tambahnya.

Tak Mahu Terpengaruh Dengan Kecaman
Dalam pada itu, Keanu mendedahkan beberapa rakan selebriti turut menghubunginya selepas program berkenaan bagi mengingatkannya supaya tidak membuka aplikasi Threads kerana bimbang dia tertekan dengan komen netizen.
Bagaimanapun, Keanu memilih untuk melihat perkara tersebut dari sudut positif dan tidak membiarkan komen berbaur kebencian mempengaruhinya.
“Habis sahaja rancangan, saya dapat WhatsApp banyak. Jadinya, saya sudah tahulah apa antara komen yang dilemparkan dekat Threads atau TikTok.
“Ada komen yang membina, saya akan ambil itu sebagai pengajaran sebab saya kena buktikan kepada mereka yang seorang Gen-Z boleh serasi dengan otai-otai,” jelasnya.
Keanu dan Raja Azura merupakan pengacara Kilauan Emas Selebriti 2026, yang bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Sabtu menerusi Astro Prima.


GIPHY App Key not set. Please check settings