Seekor harimau belang bernama Awang Besul yang ditangkap selepas berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu minggu lalu, disahkan mati.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berkata, doktor veterinar mengesahkan spesies Harimau Malaya itu mati pada jam 5.30 pagi tadi dan bedah siasat akan dijalankan segera.

FOTO- Awang Besul ketika ditangkap oleh PERHILITAN

PERHILITAN berkata, keputusan virologi diterima pada 22 Julai lalu menunjukkan Awang Besul positif ‘Virus Canine Distemper’ melalui ujian RT-PCR.

“Harimau itu dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak pada 19 Julai bagi mendapatkan rawatan intensif doktor veterinar jabatan dan dikuarantin.

“Pemantauan rapi di NWRC antara 20 Julai hingga 23 Julai menunjukkan ada tanda klinikal neurologi iaitu tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan dan jangkitan saluran pernafasan.

“Rawatan yang diberi adalah secara simptomatik atau rawatan sokongan. Persampelan darah, serum dan calitan dilakukan manakala sampel dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh pada 21 Julai untuk ujian penuh.

“Ujian menunjukkan ia positif ‘Virus Canine Distemper’,” kata kenyataan itu.

Jabatan itu berkata, pelbagai usaha intensif untuk merawat dan menyelamatkan Awang Besul sudah dijalankan.

“Penyakit ‘Canine Distemper’ disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik seperti anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk harimau.

“Jika penyakit ini terkena pada harimau, ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia manakala kebarangkalian untuk sembuh adalah sangat tipis.

“PERHILITAN tidak menolak kemungkinan ‘Canine Distemper’ yang dihadapi Awang Besul disebarkan oleh haiwan liar di sekitar Kampung Besul Lama,” katanya.

Bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar Kampung Besul Lama, jabatan masih memantau kawasan berkenaan dan memasang perangkap harimau.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari