Pelakon Azeva Natassha, 25, tampil memohon maaf kepada peminat berhubung penampilannya yang mencolok mata dalam filem sulung lakonannya, Bisikan Nafsu.
Menurut Azeva, penggambaran filem terbitan Hello Production Sdn Bhd itu dijalankan sebaik sahaja dia pulang dari Australia, menyebabkan dirinya masih terbawa-bawa dengan gaya hidup di negara berkenaan.
“Saya mengaku memang seksi dalam filem itu. Saya sudah banyak kali beritahu ketika sesi siaran langsung bahawa penggambaran dibuat sebaik saya pulang dari Australia.
“Jadi, saya masih terpengaruh dengan budaya di sana dan terus terang, saya minta maaf. Itu sahaja yang mampu saya lakukan,” katanya.
Azeva berkata demikian ketika ditemui pada majlis malam gala filem Bisikan Nafsu.
BUZZ RINGKAS
SIAPA: Azeva Natassha
APA: Pelakon itu memohon maaf atas penampilannya dalam filem sulung, Bisikan Nafsu.
MENGAPA: Azeva mengakui penampilannya mencolok mata dan menjelaskan dirinya masih terpengaruh dengan gaya hidup di Australia ketika penggambaran berlangsung.
KONTROVERSI: Babak bersama Zul Huzaimy yang tular di media sosial mencetuskan pelbagai reaksi.
TAYANGAN: Bisikan Nafsu akan ditayangkan di lebih 70 panggung wayang seluruh negara mulai 1 Oktober.
Akui Kesilapan, Sudah Bertaubat

Mengulas lanjut mengenai penampilannya dalam filem tersebut, Azeva mengakui bahawa dia menyedari imej yang dipaparkan akan kekal sebagai sebahagian daripada rekod digital.
Pelakon itu turut mengakui kesilapan yang dilakukan dan berkata dirinya sudah bertaubat, selain berjanji tidak akan mengulangi perkara sama pada masa akan datang.
“Saya sedar saya seksi dan banyak buat dosa. Saya juga sedar filem itu akan meninggalkan jejak digital sampai bila-bila.
“Sejak hari pertama penggambaran lagi saya sedar filem itu akan kekal sampai bila-bila. Bagaimanapun, saya sudah bertaubat.
“Walaupun belum menutup aurat dengan sempurna, saya tidak akan mengulanginya lagi,” ujarnya.
Azeva turut menjelaskan bahawa permohonan maaf tersebut dibuat kerana dia tidak mahu peminat berasa terkejut apabila menonton filem berkenaan.
Ulas Babak Bersama Zul Huzaimy

Dalam pada itu, Azeva turut memberikan penjelasan mengenai babak bersama pelakon Zul Huzaimy yang tular di media sosial sehingga mengundang kecaman.
Katanya, dia memahami bahawa adegan sedemikian boleh mencetuskan pelbagai reaksi memandangkan masyarakat Malaysia cukup sensitif terhadap kandungan berkenaan.
“Saya faham, di Malaysia memang sensitif sangat dengan adegan sedemikian. Tapi seperti yang anda semua sudah tengok tadi, tidak ada apa-apa pun,” katanya.
Bagaimanapun, Azeva menjelaskan bahawa kontroversi yang timbul turut menjadi sebahagian daripada pendekatan promosi bagi mencetuskan perbualan mengenai filem sulungnya itu.
“Kita buat benda itu supaya orang bercakap. Inilah matlamat kami sebagai orang bisnes, kami mahu orang bercakap mengenai filem ini,” ujarnya.
Menurut Azeva, penonton perlu menyaksikan filem tersebut bagi memahami konteks sebenar babak berkenaan, termasuk sebab adegan itu dikaburkan dalam video yang tersebar di media sosial.
“Jadi, kalau nak tahu apa yang berlaku dan kenapa adegan itu dikaburkan di media sosial, kena datang tonton filem ini untuk tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Bisikan Nafsu Tayang 1 Oktober

Selain Azeva dan Zul Huzaimy, filem arahan Riza Baharudin itu turut menampilkan Aniq Suhair, Aleeza Shadan, Raja Azmi, Ezaty Abdullah dan Watie Sadali.
Filem berkenaan turut menampilkan kemunculan istimewa bapa Azeva, Ameng Spring.
Bisikan Nafsu mengisahkan Nadia, lakonan Azeva, yang mengalami perubahan dalam kehidupan selepas menjadi mangsa perbuatan keji bapa tirinya, UR, seorang lelaki yang dikenali menerusi imej ustaz romantik dan dilakonkan oleh Zul Huzaimy.
Filem tersebut bakal ditayangkan di lebih 70 panggung wayang di seluruh negara mulai 1 Oktober ini.


GIPHY App Key not set. Please check settings