Filem tempatan baharu berjudul “5 Bomoh” bakal menghiasi pawagam bermula 4 Jun 2026 dengan membawa sebuah kisah komedi satira yang sarat sindiran terhadap mentaliti masyarakat hari ini.
Naskhah arahan Syed Fariz itu mengetengahkan bagaimana obsesi terhadap kejayaan akademik boleh membuat seseorang bertindak di luar logik.
Diterbitkan menerusi kerjasama Global Station, Skop Productions, Primeworks Studios, Aizu Group dan Mask Team, filem ini tampil dengan gabungan pelakon popular serta jalan cerita yang penuh situasi tidak dijangka.

Aaron Aziz, Scha Alyahya dan Khairy Jamaluddin.
APA
Filem komedi satira “5 Bomoh”.
BILA
Bermula 4 Jun 2026.
DI MANA
Pawagam seluruh negara.
MENGAPA
Mengangkat sikap obses ibu bapa terhadap kejayaan akademik anak.
BAGAIMANA
Melalui pengembaraan mencari bomoh dengan pelbagai situasi lucu dan pelik.

Terlalu Taksub Mahu Anak Berjaya
Kisah bermula dengan Rashdan, seorang ahli perniagaan yang masih kuat berpegang kepada kepercayaan lama dan amalan mistik yang diwarisi keluarganya sejak dahulu.
Berbeza dengan isterinya, Sakinah yang lebih percaya kepada pendekatan moden serta pendidikan kerana berlatarbelakangkan bidang perubatan.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila anak perempuan mereka, Nisa gagal mencapai keputusan yang diharapkan dalam peperiksaan percubaan SPM.
Rashdan yang terlalu tertekan kemudian mula percaya bahawa masalah tersebut boleh diselesaikan menerusi bantuan bomoh.
Disebabkan terlalu mahu melihat anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, Rashdan membawa keluarganya menjelajah ke pelbagai lokasi bagi mencari individu yang dikatakan mampu membantu Nisa.
Namun pencarian tersebut akhirnya menemukan mereka dengan pelbagai karakter pelik yang hanya mahu mengambil kesempatan demi keuntungan sendiri.

Sindiran Tentang Mentaliti Masyarakat
Walaupun dibawakan dalam bentuk komedi, “5 Bomoh” sebenarnya menyelitkan banyak sindiran terhadap masyarakat yang masih mudah percaya kepada perkara tahyul.
Dalam masa sama, filem ini turut menyentuh tekanan yang sering diberikan ibu bapa terhadap pencapaian akademik anak-anak.
Gabungan elemen humor, kekeluargaan dan sindiran sosial menjadikan filem ini tampil dengan identiti tersendiri.

Barisan Pelakon Penuh Warna
“5 Bomoh” dibintangi Dato’ Aaron Aziz sebagai Rashdan manakala Scha Alyahya memegang watak Sakinah.
Turut mencuri perhatian ialah penampilan Khairy Jamaluddin sebagai Mr K bersama Dato’ Afdlin Shauki, Datuk Amy Search, Johan, Ozlynn Waty dan Aedy Ashraf yang masing-masing membawa karakter bomoh dengan gaya tersendiri.
Filem ini turut dibarisi Ungku Hariz dan Tiara Suraya Rose.
Dengan kombinasi pelakon berpengalaman dan jalan cerita yang unik, “5 Bomoh” dijangka menjadi antara filem tempatan yang mencuri perhatian penonton tahun ini.



GIPHY App Key not set. Please check settings