in

Orang Pandang Serong, Hina Kisah Silam Diva M, Tapi Ini Sisi Lain Dirinya, ‘Jumaat Memang Saya Cuba Kongsi Rezeki’

PAYA JARAS: Bukan sedikit pandangan serong yang dilemparkan terhadap Diva M. Kisah silam, penampilan malah perjalanan hidupnya sering menjadi bahan kecaman, namun ada sisi lain usahawan dan pempengaruh itu yang mungkin tidak ramai tahu.

Di sebalik segala kontroversi dan persepsi yang mengiringi namanya, Diva M atau nama sebenarnya Mohd Muzakir menjadikan hari Jumaat sebagai antara waktu yang dipilih untuk berkongsi rezeki.

Terbaharu, bersama beberapa kakitangan Diva Hair Salon, Diva M meluangkan masa bersama 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena cuti persekolahan.

BUZZ RINGKAS


SIAPA:
Diva M bersama pasukan Diva Hair Salon

APA:
Menyantuni 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras dengan membawa makanan dan menawarkan khidmat gunting rambut percuma.

BILA:
Sempena cuti persekolahan dan pada hari Jumaat.

DI MANA:
Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras.

MENGAPA:
Untuk berkongsi rezeki dan memberi manfaat kepada penghuni rumah kebajikan berkenaan.

APA LAGI:
Penghuni rumah berkenaan turut boleh mendapatkan khidmat gunting rambut percuma di Diva Hair Salon, Kota Damansara secara berterusan.

Tidak sekadar hadir menyerahkan sumbangan sebelum pulang, Diva M membawa hidangan makan tengah hari berserta pencuci mulut untuk dinikmati bersama penghuni rumah kebajikan berkenaan.

“Orang boleh pandang saya macam-macam. Saya pun ada kisah silam dan saya tak boleh ubah apa yang sudah berlaku.

“Tetapi kalau ada kesempatan dan rezeki, memang saya cuba jadikan hari Jumaat sebagai hari untuk berkongsi dengan orang lain.

“Sebelum ini kami pernah ke masjid dan rumah warga emas. Kali ini kebetulan dalam musim cuti sekolah, jadi kami memilih untuk datang bertemu dan makan tengah hari bersama anak-anak di sini,” katanya.

Menurut Diva M, aktiviti sedemikian bukan dilakukan untuk mengubah pandangan sesiapa terhadap dirinya, sebaliknya sesuatu yang mahu diteruskan mengikut kemampuannya.

“Saya tak boleh paksa orang untuk suka atau fikir baik tentang saya. Itu hak masing-masing. Apa yang penting, kalau saya ada kemampuan untuk buat sesuatu yang baik, saya buat.
“Tak semestinya tunggu kita kaya atau ada banyak baru hendak berkongsi. Apa yang kita mampu, kita berilah,” katanya.

Namun, kunjungan itu tidak berakhir dengan jamuan makan tengah hari semata-mata.

Diva M turut menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada kesemua 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni di Diva Hair Salon, Kota Damansara secara berterusan.

Menurutnya, penghuni rumah kebajikan itu boleh datang mendapatkan perkhidmatan berkenaan tanpa bayaran apabila diperlukan.

“Saya beritahu pihak rumah, kalau anak-anak di sini perlukan khidmat gunting rambut, mereka boleh datang ke salun.

“Ini bukan untuk sekali sahaja. Selagi kami masih beroperasi dan mampu memberikan perkhidmatan itu, kami akan buat secara percuma. Saya mahu mereka tahu pintu salun kami sentiasa terbuka untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab berkata, pihaknya menghargai kesudian Diva M dan pasukannya meluangkan masa bersama penghuni rumah berkenaan.

“Kami berterima kasih atas kesudian Diva M dan pasukannya datang menyantuni anak-anak di sini, selain membawa makanan untuk dinikmati bersama.

“Pihak kami juga menghargai tawaran beliau untuk menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada anak-anak di bawah jagaan kami. Bantuan seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu keperluan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras yang ditubuhkan pada 2007 menempatkan anak yatim, yatim piatu serta golongan asnaf.

Ketika ini, seramai 112 penghuni berusia antara satu hingga 17 tahun berada di rumah berkenaan, terdiri daripada 61 lelaki dan 51 perempuan.

Program itu turut diisi dengan sesi makan tengah hari, ramah mesra serta fotografi sebelum Diva M, pasukannya dan penghuni yang terlibat bersama-sama beredar untuk menunaikan solat Jumaat.

Sebelum ini, Diva M bersama pasukan Diva Hair Salon turut mengadakan aktiviti kebajikan di Rumah Seri Kenangan Cheras dengan menyediakan khidmat gunting rambut percuma kepada warga emas.

Bagi Diva M, apa juga persepsi masyarakat terhadap perjalanan hidupnya tidak seharusnya menjadi penghalang untuk terus melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Dabra Ungguli Minggu Pertama Borneo Rising 2026