in ,

Konsert Double-Bill Satukan FUGŌ & Midnight Fusic

FUGŌ dan Midnight Fusic bakal berkongsi satu pentas buat kali pertama menerusi Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic, sebuah konsert double-bill yang akan berlangsung pada 17 Oktober 2026 di Odeon KL, Kuala Lumpur.

Pertemuan dua kugiran dengan karakter muzik berbeza ini menjadi peluang buat peminat menyaksikan mereka dalam sebuah persembahan berskala konsert yang telah mula dibincangkan sejak 2024.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
FUGŌ dan Midnight Fusic.

APA
Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic, konsert double-bill pertama kedua-dua kugiran.

BILA
17 Oktober 2026, jam 8 malam.

DI MANA
Odeon KL, Kuala Lumpur.

MENGAPA
Mempertemukan dua kugiran dengan identiti muzik dan kelompok peminat tersendiri dalam satu persembahan bersama.

BAGAIMANA
Tiket bermula RM89 untuk PENTAS, RM129 untuk SANDIWARA dan RM150 bagi Exclusive Session.

Idea Lama Akhirnya Jadi Kenyataan

Kerjasama antara FUGŌ dan Midnight Fusic bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba.

Kedua-dua kugiran tersebut pernah berbincang mengenai kemungkinan untuk melakukan sesuatu bersama ketika terlibat dalam sebuah acara di Pantai Timur pada 2024.

Selepas lebih dua tahun, idea tersebut akhirnya diterjemahkan menerusi Panggung Sandiwara, sekali gus menemukan dua kumpulan yang mempunyai identiti serta kelompok peminat masing-masing.

Menurut Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., Mozylir Mokhtaruddin, gabungan tersebut dilihat sesuai dengan citarasa pendengar generasi baharu.

“Pada pandangan kami, kedua-dua kumpulan ini mempunyai identiti muzik yang kuat dan unik, mengakibatkan mereka mempunyai kelompok peminat yang sangat kukuh. Menggabungkan mereka di atas satu pentas sememangnya satu keputusan yang tepat,” katanya.

FUGŌ Bawa Nu-Vintage

Ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 2019, FUGŌ dianggotai Hakim Kamal, Kayrol Ami dan Fai.

Kumpulan tersebut mula mendapat perhatian peminat muzik indie tempatan menerusi lagu Lagu Balad Kala Hujan, yang turut memperkenalkan identiti muzik Nu-Vintage mereka.

Untuk konsert ini, FUGŌ turut merancang untuk membawakan beberapa lagu yang jarang dipersembahkan disebabkan kekangan masa dalam persembahan biasa.

Vokalis utama FUGŌ, Hakim Kamal, berkata peluang tersebut membolehkan mereka memberikan sesuatu yang berbeza kepada peminat.

“Kami pernah berbincang mengenai kemungkinan untuk melakukan sesuatu bersama pada tahun 2024 ketika kami membuat persembahan di acara yang sama. Dari segi muzik untuk konsert ini kami akan mainkan lagu-lagu yang peminat kami gemari tetapi jarang dapat dimainkan di mana-mana persembahan akibat kekangan masa,” katanya.

Midnight Fusic Dengan Identiti Tersendiri

Midnight Fusic pula mula ditubuhkan pada 2013 dan kini sudah mempunyai lebih sedekad pengalaman dalam industri muzik tempatan.

Kumpulan yang dianggotai Arif Kamarudin, Adrian Daniel dan Firdaus Azmi itu dikenali menerusi lagu seperti Caramel Cream, Time Machine, Under The Weather, Cahayaku Lovesick dan Heart of May.

Muzik mereka pula bergerak merentasi pelbagai pengaruh termasuk bossa nova, indie rock dan garage rock.

Pertemuan bersama FUGŌ memberi ruang kepada Midnight Fusic untuk membawa sisi persembahan yang lebih khusus dan eksklusif untuk malam tersebut.

Panggung Sandiwara Jadi Pentas Eksperimen

Selain muzik, aspek visual turut menjadi antara fokus utama konsert ini.

Vokalis utama Midnight Fusic, Arif Kamarudin, berkata mereka sedang menyediakan konsep visual yang lebih menyeluruh bermula daripada bahan promosi sehingga persembahan di pentas.

“Selain aspek muzik, khusus buat konsert ini kami berusaha keras untuk menghasilkan konsep visual yang sangat memberi impak untuk dipersembahkan kepada penonton,” katanya.

Beliau turut membayangkan bahawa usaha tersebut dibuat bagi memastikan Panggung Sandiwara meninggalkan pengalaman yang berbeza kepada peminat kedua-dua kumpulan.

Tiket Bermula RM89

Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic akan berlangsung pada 17 Oktober 2026, jam 8 malam di Odeon KL.

Tiket kategori PENTAS (free standing) ditawarkan pada harga RM89 untuk jualan awal dan RM139 bagi jualan umum.

Kategori SANDIWARA (premium seating) pula berharga RM129 untuk jualan awal dan RM189 bagi jualan umum.

Peminat turut boleh mendapatkan Exclusive Session pada harga RM150, yang merangkumi sesi Meet & Greet serta beberapa pengalaman dan akses eksklusif sebelum konsert bermula.

Jualan tiket akan dibuka pada 27 Ogos 2026, jam 10 pagi menerusi laman rasmi panggungsandiwara.com.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

OAG & The Times Satukan Generasi, Disko Dansa Generasiku