in ,

OAG & The Times Satukan Generasi, Disko Dansa Generasiku

Dua nama yang mewarnai era berbeza muzik alternatif Malaysia, OAG dan The Times, bakal bertemu di satu pentas menerusi Disko Dansa Generasiku pada 10 Oktober 2026 di Odeon KL.

Pertemuan tersebut bukan sekadar sebuah konsert yang menghimpunkan dua kumpulan, sebaliknya menjadi titik pertemuan antara muzik alternatif era 1990-an dengan gelombang indie Melayu yang berkembang pada pertengahan 2000-an.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
OAG dan The Times.

APA
Konsert Disko Dansa Generasiku.

BILA
10 Oktober 2026.

DI MANA
Odeon KL.

MENGAPA
Menyatukan dua generasi muzik alternatif Malaysia dalam sebuah malam yang meraikan perjalanan muzik, lagu dan budaya indie tempatan.

BAGAIMANA
OAG dan The Times berkongsi pentas dengan tiket Standing RM139, manakala kategori Seated RM189 telah habis terjual.

Dua Era, Satu Pentas

OAG muncul pada 1992 sebagai Old Automatic Garbage dan membina identiti tersendiri menerusi alternative rock, gitar fuzzy serta melodi pop yang berbeza daripada arus perdana ketika itu.

Album sulung mereka pada 1994 melahirkan lagu 60’s TV, manakala karya seperti Generasiku kemudiannya menjadi antara lagu yang cukup sinonim dengan perjalanan muzik kumpulan tersebut.

The Times pula muncul pada 2004 selepas Naza dan Mono, yang pernah menjadi sebahagian daripada barisan OAG, memilih untuk meneroka arah muzik mereka sendiri.

Kumpulan tersebut kemudian membina identiti tersendiri menerusi pengaruh British pop, mod, psychedelia dan rock ‘n’ roll dengan sentuhan Melayu yang terserlah dalam karya mereka.

Dari OAG Ke The Times

Hubungan antara kedua-dua kumpulan menjadikan Disko Dansa Generasiku mempunyai cerita yang lebih panjang daripada sekadar pertemuan dua band.

Naza dan Mono pernah bersama OAG sebelum menubuhkan The Times pada 31 Ogos 2004.

The Times kemudiannya memperkenalkan album Soda Pop Rok ‘N’ Roll pada November 2004 yang menampilkan lagu seperti Gadisku Dalam Koma, Pesona Algebra dan Mawar Liar.

Perjalanan itu diteruskan menerusi karya seperti Nada Melankolik Malaya dan Modern Minimalis Glamour, yang membantu membentuk identiti serta kelompok peminat tersendiri buat The Times.

Pertemuan Dua Generasi Peminat

Vokalis OAG, Radhi, melihat konsert ini sebagai peluang untuk meraikan perjalanan muzik alternatif Malaysia yang saling berkait antara satu generasi dengan generasi yang lain.

“Konsert ini bukan sekadar tentang OAG atau The Times, tetapi tentang perjalanan muzik alternatif Malaysia yang saling bersambung dari satu generasi ke generasi yang lain. Kami mahu penonton datang bukan sahaja untuk menyanyi bersama, tetapi untuk menghidupkan semula memori dan meraikan muzik yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup mereka,” katanya.

Sementara itu, Naza menyifatkan persembahan tersebut sebagai ruang untuk mempertemukan peminat yang membesar dengan muzik OAG dan The Times pada zaman berbeza.

“Ramai yang membesar dengan OAG pada era 90-an, dan ramai juga yang menemui muzik melalui The Times pada tahun 2000-an. Konsert ini ibarat satu titik pertemuan antara dua generasi iaitu generasi yang membesar dengan OAG dan The Times dan juga generasi baru yang belum pernah mendengar lagu-lagu OAG dan The Times,” katanya.

Bakal Ada Kejutan Di Odeon KL

The Times turut membayangkan beberapa elemen istimewa yang sedang dirancang untuk persembahan tersebut.

“Kami sedang merancang beberapa perkara yang istimewa untuk malam itu. Ada kejutan yang berkait dengan lagu, susunan persembahan dan mungkin juga beberapa momen yang peminat sendiri tidak jangkakan. Apa yang pasti, kami mahu jadikan Odeon KL sebagai tempat di mana sesuatu yang unik akan berlaku,” katanya.

Konsert ini sekali gus memberi peluang kepada peminat lama untuk mengimbau kembali era kaset, CD, majalah muzik dan gig underground, selain membuka ruang kepada generasi baharu mengenali karya yang pernah membentuk budaya muzik alternatif tempatan.

Tiket Seated Habis Terjual

Bagi peminat yang mahu menyaksikan pertemuan OAG dan The Times secara langsung, tiket Standing masih ditawarkan pada harga RM139.

Sementara itu, kategori Seated berharga RM189 telah habis terjual.

Disko Dansa Generasiku akan berlangsung pada 10 Oktober 2026 di Odeon KL. Maklumat terkini mengenai konsert serta pembelian tiket boleh didapati menerusi oagthetimes.com.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Borneo Rising Angkat Bakat Sabah Dan Sarawak Ke Pentas Nasional

Konsert Double-Bill Satukan FUGŌ & Midnight Fusic