in ,

K4LAM Tampil Dengan “MUSA”, Pak Nil Cetus Eksperimen AI

Selepas lebih tiga dekad dikenali sebagai antara figura paling berpengaruh dalam dunia hiburan tempatan, Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil kini memperkenalkan satu lagi projek yang cukup berbeza daripada perjalanan seninya sebelum ini.

Bukan tampil sebagai penyanyi solo, Pak Nil memilih untuk membentuk sebuah kumpulan vokal baharu dikenali sebagai K4LAM, yang kini memulakan langkah menerusi single sulung berjudul MUSA.

Kumpulan yang dibentuk secara berperingkat sejak Februari 2026 itu dianggotai empat lelaki iaitu Isa Khan, Danny, Zulhilmi Zolkefli dan Allif Firdaus, dengan konsep utama yang mengetengahkan kekuatan harmoni serta eksperimen antara suara manusia dan teknologi.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
K4LAM dan Pak Nil.

APA
Penubuhan K4LAM dan single sulung “MUSA”.

BILA
26 Ogos 2026.

DI MANA
Semua platform penstriman digital.

MENGAPA
Memperkenalkan kumpulan baharu serta meneroka penggunaan AI dalam muzik.

BAGAIMANA
Menerusi empat anggota K4LAM, penerbitan AG Coco dan cetusan idea Pak Nil.

Empat Wajah Di Sebalik K4LAM

K4LAM bukan dibentuk daripada nama yang benar-benar asing dalam dunia kreatif.

Isa Khan, 33, mempunyai pengalaman sebagai penyanyi dan pelakon, manakala Danny, 22, pernah bekerja dalam industri muzik.

Zulhilmi Zolkefli, 28, pula mempunyai latar sebagai pengacara, pencipta kandungan dan pengamal seni mempertahankan diri, sementara Allif Firdaus, 25, mempunyai pengalaman sebagai penyanyi, pelakon, model dan pembikin filem.

Pertemuan Pak Nil dengan Isa Khan menjadi antara titik awal penubuhan K4LAM sebelum Danny, Zulhilmi dan Allif menyertai kumpulan tersebut selepas melalui uji bakat terbuka.

Kesemua anggota kemudiannya mendapat bimbingan daripada penerbit AG Coco bagi memperkemas kemampuan dan identiti kumpulan tersebut.

“MUSA” Jadi Langkah Pertama K4LAM

Selepas K4LAM dibentuk, idea besar Pak Nil itu akhirnya diterjemahkan menerusi MUSA sebagai karya sulung mereka.

Lagu tersebut diterbitkan oleh AG Coco dengan rakaman vokal K4LAM dilakukan di studio miliknya, Kamar Seni.

Namun, MUSA bukan sekadar lagu pertama untuk memperkenalkan empat anggota K4LAM kepada pendengar.

Karya ini turut membawa pendekatan yang berbeza apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan sebagai sebahagian daripada proses eksplorasi muzik.

Lirik “MUSA” Bawa Unsur Kerohanian

Di sebalik eksperimen teknologi yang menjadi antara identiti karya tersebut, MUSA turut membawa mesej kerohanian yang lebih mendalam.

Liriknya menggunakan ayat terjemahan al-Quran daripada Surah Taha dan Surah An-Naml, sekali gus menjadikan karya ini lebih daripada sekadar percubaan menghasilkan muzik menggunakan teknologi baharu.

Pak Nil melihat MUSA sebagai satu eksperimen kreatif yang cuba mempertemukan teknologi kontemporari dengan mesej yang lebih besar daripada dirinya dan K4LAM sendiri.

Beliau juga menegaskan karya tersebut tidak dirancang untuk dipertandingkan.

Sebaliknya, harapannya cukup sederhana — sekiranya lagu itu mampu membuatkan pendengar lebih dekat dengan al-Quran, eksperimen tersebut sudah mencapai makna tersendiri.

Pak Nil Belajar Guna AI Untuk Muzik

Minat Pak Nil terhadap AI dalam muzik pula bermula apabila beliau mempelajari cara menghasilkan prompt yang tepat bagi membentuk struktur bunyi, irama dan suasana muzik mengikut gambaran kreatif yang diinginkan.

Bagi beliau, perkembangan teknologi tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman yang akan menghapuskan peranan manusia dalam dunia seni.

“Bagi saya, AI seperti satu lagi alat dalam dunia muzik. Kita sudah lama menggunakan teknologi untuk membantu menghasilkan muzik. Bezanya sekarang, alat itu semakin pintar dan mampu memberi lebih banyak kemungkinan,” katanya.

Pak Nil melihat perkembangan tersebut sebagai sebahagian daripada evolusi muzik yang sememangnya sudah berlaku sejak sekian lama, daripada teknologi rakaman dan instrumen elektronik kepada synthesizer, komputer dan teknologi digital.

AI Bukan Pengganti Manusia

Walaupun AI menjadi sebahagian daripada eksperimen MUSA, Pak Nil tetap percaya manusia merupakan pihak yang bertanggungjawab menentukan bagaimana teknologi tersebut digunakan.

“AI ini bukan datang untuk menggantikan manusia. Ia cuma membuka satu lagi ruang untuk manusia mencuba sesuatu yang sebelum ini mungkin mengambil masa atau memerlukan pendekatan yang berbeza.

“AI adalah alat dan yang menentukan bagaimana alat itu digunakan tetap manusia. Apa yang penting bukan semata-mata siapa atau apa yang menghasilkan bunyi itu, tetapi bagaimana manusia menggunakan teknologi tersebut dan bagaimana kita bertanggungjawab terhadap hasilnya,” katanya.

Pak Nil Tak Mahu Ambil Kredit Sebagai Pencipta

Pendekatan Pak Nil terhadap AI turut dapat dilihat menerusi pendiriannya mengenai pengiktirafan karya.

Walaupun menjadi pencetus kepada K4LAM dan idea eksperimen tersebut, beliau tidak mahu mendakwa MUSA sebagai hasil ciptaannya sendiri.

“Saya tidak akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil.

“Kalau kita menggunakan AI untuk membantu menghasilkan sesuatu, kemudian kita ambil seluruh kredit dan mengaku ia ciptaan kita, saya rasa itu juga tidak beretika.

“Sebab itu saya tidak pernah dan akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil,” katanya.

Bagi Pak Nil, kejujuran mengenai penggunaan teknologi dalam menghasilkan karya sama penting dengan hasil akhir yang didengarkan oleh orang ramai.

Harapan Lebih Besar Daripada Sekadar Eksperimen

Akhirnya, nilai MUSA bagi Pak Nil bukan terletak pada sejauh mana AI mampu menghasilkan sebuah lagu atau siapa yang menerima kredit.

Sebaliknya, beliau mahu melihat apa yang berlaku selepas pendengar selesai menghayati karya tersebut.

“Kalau selepas dengar MUSA, ada yang rasa ingin buka al-Quran, mencari Surah Taha atau Surah An-Naml dan membaca sendiri, bagi saya itu sudah cukup bermakna,” katanya.

MUSA kini boleh didengari dan video muziknya boleh dinikmati sejak 26 Ogos 2026.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Konsert Double-Bill Satukan FUGŌ & Midnight Fusic