in ,

Hantaran RM10 Juta, A Aida Setuju

KUALA LUMPUR: Penerbit Datuk A Aida mengakui ramai individu cuba mendekati anaknya, Azeva, namun buat masa ini dia mahu pengacara Big Stage itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkembangan kerjaya.

Menurut A Aida, peluang yang sedang terbuka luas untuk Azeva selepas mencipta nama menerusi program berkenaan tidak seharusnya disia-siakan hanya kerana soal cinta atau perkahwinan.

“Seperti kenyataan saya sebelum ini, saya nak dia fokus kepada kerjaya dulu. Kenapa? Daripada Talk To My Manager, apabila sudah dapat peluang, kita sudah buat habis-habisan, sanggup berhabis wang ringgit untuk membina nama dan peluang dia,” katanya.

BUZZ RingKAS

• A Aida mahu Azeva fokus kepada kerjaya terlebih dahulu dan tidak terburu-buru memikirkan soal jodoh.

• Menurut A Aida, semakin banyak peluang hadir buat Azeva selepas mencipta nama sebagai pengacara Big Stage.

• A Aida turut berseloroh sanggup mempertimbangkan hantaran RM10 juta sekiranya ada lelaki mahu berkahwin dengan anaknya.

• Katanya, lelaki yang bakal mendekati Azeva perlu mampu memberikan kehidupan lebih baik daripada apa yang sudah diberikan kepadanya.

A Aida akui ramai cuba dekati Azeva

A Aida berkata, usaha membina nama dalam industri seni bukan sesuatu yang mudah, malah ada artis yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dikenali.

Justeru, dia merasakan Azeva perlu menggunakan momentum yang ada ketika ini untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri.

“Untuk menjadi seorang artis ini teramat susah. Ada artis 10, 20 tahun saya ulang benda yang sama, untuk menjadi popular bukan senang.

“Jadi apabila dapat peluang untuk masuk Talk To My Manager, bagi saya itulah peluang untuk Azeva mencipta nama dan terus dikenali.

“Jadi sebab itulah saya sanggup berbelanja. Saya tak kisah habis berapa pun untuk mencipta nama Azeva,” katanya.

Dalam pada itu, A Aida mengakui menerima banyak mesej daripada individu yang berminat untuk mendekati Azeva, termasuk ada yang memanggilnya sebagai ‘mama’.

Namun, katanya, dia tidak mahu perkara berkenaan mengganggu fokus Azeva yang kini sedang menikmati lebih banyak peluang dalam kerjayanya.

“Ramai, boleh dikatakan berderet-deret, berbatu-batu nak mencuba Azeva ini. Tetapi seperti kenyataan saya buat masa sekarang ini, saya nak dia fokus kepada kerjaya dulu.

“Sekarang dia sudah mencipta nama dan semua orang mencari dia. Banyak peluang yang datang, jadi kenapa nak disia-siakan?” katanya.

‘Takkan tengah mendunia nak kahwin’

Lebih menarik, A Aida secara berseloroh menetapkan nilai hantaran RM10 juta sekiranya ada individu benar-benar mahu memperisterikan Azeva.

“Takkan tengah mendunia ini tiba-tiba nak kahwin. Helo! Kalau nak kahwin, hantaran RM10 juta saya terimalah.

A Aida menjelaskan, dia tidak pernah mengongkong anaknya dalam soal pergaulan, malah sentiasa memberikan yang terbaik sejak Azeva kecil.

Menurutnya, apa yang diharapkan hanyalah lelaki yang bakal hadir dalam kehidupan Azeva kelak mampu memberikan kehidupan lebih baik berbanding apa yang sudah diberikan kepadanya.

“Janji kalau pada masa depan, sekurang-kurangnya saya nak orang itu boleh beri anak saya ini lebih daripada apa yang saya bagi.

“Katalah saya bagi dia Rolex merah jambu, orang itu boleh beri jam yang lebih mahal daripada Rolex. Itu saja contohnya,” katanya.

Mahu Azeva cari pasangan selepas kukuh

A Aida turut menasihatkan Azeva supaya tidak terburu-buru memikirkan soal perkahwinan dan lebih baik menggunakan masa sekarang untuk membina kehidupan serta mengumpul aset.

Katanya, apabila sudah mempunyai kedudukan kukuh dan segala keperluan hidup terjamin, barulah soal memilih pasangan boleh difikirkan dengan lebih matang.

“Saya selalu cakap kepada dia, ‘Dik, ya, kawan sahaja pada masa ini’. Seperti yang saya cakap, fokus kepada kerjaya dulu.

“Ketika orang mahukan kita, gunakan peluang yang ada. Ambil, kumpul harta, belanja mama hotel lima bintang.

“Bila harta sudah banyak, duit pun sudah bersepah dan kita tak perlu duit lagi, masa itu kita boleh pilih siapa yang kita mahu,” katanya.

A Aida berkata, perkara paling penting dalam memilih pasangan bukan semata-mata soal cinta, sebaliknya seseorang itu perlu mampu memberikan kebahagiaan dan memahami pasangan.

“Kita nak cari seseorang yang akan buat kita bahagia, orang yang memahami. Sebab apabila kita sudah ada semuanya, kita boleh pilih sahaja.

“Memang mula-mula cinta, lama-lama derita,” katanya.

Azeva sebelum ini mencuri perhatian sebagai pengacara Big Stage, sekali gus semakin dikenali menerusi kemunculannya dalam program realiti berkenaan.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Hussain Nak Tidur Dua Hari, Peminat Jadi Askar?

Coffee Terrace Kembali Dengan Bufet Nostalgia, Ada Sashimi Hingga Kambing Panggang