Syafiq Farhain meluahkan rasa syukur apabila akhirnya dipertemukan semula dengan adik kandungnya, Amirul Mukminin, selepas hubungan mereka terputus sekian lama akibat konflik keluarga yang berlarutan.
Menurut Syafiq, 32, pertemuan terakhir mereka berlaku ketika Amirul masih di bangku sekolah sebelum masing-masing membawa haluan sendiri selama bertahun-tahun.
Syafiq Farhain.
APA
Dipertemukan semula dengan adik kandung selepas lebih sedekad tidak berjumpa.
BILA
Sekitar dua hingga tiga bulan yang lalu.
DI MANA
Majlis pelancaran single Cerita Luka.
KENAPA
Ikatan adik-beradik kembali terjalin selepas sekian lama terputus hubungan.
Dipertemukan Semula Selepas Lebih Sedekad
Syafiq berkata, detik pertemuan semula yang berlaku sekitar dua hingga tiga bulan lalu itu menjadi kenyataan dengan bantuan penyanyi Ameng Spring.
“Alhamdulillah, kami akhirnya bertemu semula sekitar dua atau tiga bulan lepas selepas lama tidak bersua.
“Kali terakhir saya jumpa dia masa dia masih bersekolah. Bila berjumpa semula, saya memang terkejut sebab dia sudah dewasa.
“Pada mulanya memang rasa janggal sebab terlalu lama tidak berhubung. Kalau boleh, saya mahu layan dia seperti adik-beradik yang lain.
“Alhamdulillah, sekarang kami sudah mula kerap berhubung,” katanya.
Syukur Hubungan Kembali Terjalin
Penyanyi lagu Sayang Maafkan Aku itu turut meluahkan rasa lega apabila Amirul akhirnya terbuka hati untuk bertemu dengannya.
“Saya sangat gembira dia sudi berjumpa. Bukan saya tidak cuba cari sebelum ini, tetapi saya sendiri tidak tahu di mana dia berada.
“Pada masa sama, saya bimbang jika cara yang salah akan menimbulkan masalah lain.
“Alhamdulillah, dia seorang yang sangat baik dan beradab. Dia tidak seperti yang saya sangkakan sebelum ini. Saya fikir dia marah, tetapi sebenarnya tidak langsung,” katanya.
Pilih Untuk Memaafkan
Syafiq menegaskan dia sudah lama memaafkan segala yang berlaku dan menganggap ia sebagai satu ujian hidup.
“Saya tidak simpan dendam kerana saya percaya setiap perkara ada hikmah.
“Cuma saya rasa sedih kerana sebagai adik-beradik, sepatutnya kami saling menyokong dan kekal rapat.
“Saya harap perkara seperti ini tidak berulang, bukan sahaja kepada kami tetapi juga keluarga lain,” katanya.
Kembali Dengan Single Baharu
Dalam perkembangan lain, Syafiq turut kembali aktif dalam industri muzik selepas hampir dua tahun dengan single baharu berjudul Cerita Luka terbitan MVM Music Sdn. Bhd.
Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh itu menjadi kemunculan semula Syafiq buat peminat yang menantikan karya terbarunya.



GIPHY App Key not set. Please check settings