in ,

Peminat Minta, Penganjur Tunaikan! Homecoming Ella Kembali Ke Setia SPICE Arena!

Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru kini secara rasmi dipindahkan ke Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos 2026.

Perubahan lokasi dan tarikh itu dibuat selepas penelitian bersama pihak penganjur, pasukan produksi dan Ella sendiri bagi memastikan pengalaman konsert yang lebih optimum, selesa dan bermakna buat para peminat.

Menariknya, Setia SPICE Arena bukan venue asing buat Ella kerana lokasi tersebut pernah menjadi saksi kejayaan konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang menghimpunkan lebih 14,000 peminat.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Ella, Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain.

APA
Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru.

BILA
22 Ogos 2026.

DI MANA
Setia SPICE Arena, Pulau Pinang.

MENGAPA
Memberikan pengalaman konsert yang lebih selesa dan imersif.

BAGAIMANA
Dengan venue tertutup yang lebih dekat, selamat dan mesra peminat.

Venue Pilihan Peminat

Menurut pihak penganjur, keputusan memindahkan konsert ke Setia SPICE Arena turut didorong oleh permintaan ramai yang mahu suasana konsert di venue tersebut dihidupkan semula.

Selain menawarkan susun atur yang lebih dekat dengan pentas, lokasi tertutup itu juga mempunyai sistem akustik yang lebih baik serta memberi perlindungan daripada cuaca tidak menentu.

Langkah tersebut dilihat sebagai satu penambahbaikan yang memberi nilai tambah kepada keseluruhan pengalaman Homecoming sempena ulang tahun ke-60 Ella.

Ramli Sarip & Ziana Zain Sertai Ahli Majlis Tertinggi

Menambahkan lagi keterujaan peminat, pihak penganjur turut mengumumkan dua nama besar industri muzik tanah air sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

Mereka ialah Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain yang bakal berkongsi pentas bersama Ella pada malam istimewa tersebut.

Beberapa lagi artis jemputan turut dijangka diumumkan dalam masa terdekat bagi melengkapkan sambutan ulang tahun ke-60 Ratu Rock negara itu.

Peace, Love & Rindu Diteruskan

Konsert ini turut meneruskan semangat kempen Peace, Love & Rindu yang diperkenalkan sebelum ini.

Sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada organisasi kebajikan yang dipilih pembeli tiket iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang bagi kategori Peace, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk Love dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair bagi kategori Rindu.

Inisiatif tersebut menjadikan Homecoming bukan sekadar sebuah konsert hiburan tetapi turut membawa mesej tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Ella Teruja Kembali Ke Utara

Ella menyifatkan perubahan lokasi tersebut sebagai keputusan terbaik demi memastikan peminat menerima pengalaman yang lebih berkualiti.

“Seperti biasa, keutamaan saya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada semua dan memastikan setiap persembahan menjadi pengalaman yang istimewa.

“Homecoming insya-Allah akan tetap berlangsung. Saya sangat teruja untuk kembali bertemu mereka di Utara yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” katanya.

Tiket Kekal Pada Harga Asal

Pihak penganjur mengesahkan harga tiket kekal seperti yang diumumkan sebelum ini tanpa sebarang perubahan.

Bagi pemegang tiket sedia ada, semua tiket akan dipindahkan secara automatik ke tempat duduk yang mempunyai nilai setara di Setia SPICE Arena tanpa kos tambahan.

Maklumat lanjut mengenai penempatan tempat duduk baharu akan dimaklumkan terus kepada pembeli dalam masa terdekat.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

“The First Wave”, ALPHA Buktikan Mereka Bukan Sekadar Hype