Pelakon popular heroin drama, Intan Najuwa telah selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz bersama suaminya yang merupakan seorang ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman, 39, pada jam 6.45 petang tadi.
Majlis pernikahan yang diadakan di sebuah resort yang terletak di Desaru telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Dr Hj Nooh Gadot.
Pilihan tema majlis berunsurkan alam semula jadi, pelakon berusia 26 tahun itu dikhabarkan menerima mas kahwin bernilai RM20,000 dan hantaran berjumlah RM222,000 sempena perkenalan pasangan tersebut selama dua tahun.
Tampil mengenakan pakaian pereka fesyen terkenal iaitu Fizi Woo dan Teh Firdaus, Intan atau Intan Najuwa Abd Wahab turut terlihat cantik melalui hasil tangan berseni milik jurusolek popular, Datuk Alha Alfa.
Memilih tarikh pernikahan yang cantik sempena hari lahir milik pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu, majlis pernikahan yang diaturkan oleh pihak Rimbunan Events & Whitebox telah memuatkan 150 orang tetamu termasuk ahli keluarga, teman rapat dan para media.
Pelakon kelahiran Johor Bahru itu meluahkan rasa syukur dan tidak lupa untuk berterima kasih kepada tetamu yang turut hadir memeriahkan majlis.
“Alhamdulillah, saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Doakan yang terbaik buat kami berdua dalam melayari rumah tangga. Walaupun sudah bergelar isteri, Intan akan terus menyambung karier lakonan serta mengutamakan juga pengajian Intan serta bisnes Intan sekarang.
“Intan juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat atas sokongan yang diberi seawal kerjaya Intan sehingga hari ini,” ujarnya.
Untuk info, majlis resepsi kedua bertemakan tradisional bakal berlangsung di Rimbunan Event Space, Johor Bahru, malam esok.
GIPHY App Key not set. Please check settings