Mengimbau peristiwa manis yang lalu, pelakon, Shikin Maembong berkongsi mengenai kisah perkenalan antara suaminya yang merupakan penyanyi iaitu Cat Farish, berhasrat ingin memikatnya secara terbuka di sebuah acara terletak di ibu kota.
Menerusi perkongsian di Tiktok milik Shikin atau Siti Nur ‘Ashikin Ismail, 40, keinginan Cat ingin mengenalinya dengan lebih rapat menyebabkan adiknya yang dikenali sebagai Ahmad Maembong melontarkan soalan yang agak merisaukan.

Ujarnya, dia bertanyakan kepada Cat tentang adakah dia sanggup menerima untuk tidak hanya menjaga keluarga kecil kakaknya tetapi dirinya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Masa Abang Cat Farish nak kenal saya kat Starvendors KLCC bulan puasa lepas, Ahmad Maembong ada cakap ‘kalau abang nak ngorat kakak saya, kena beli satu percuma dua, sebab kakak saya ada seorang anak dan jaga saya juga’.
“Ingatkan Abang Cat tak jadi ngorat masa tu. Alhamdulillah, kami dah kahwin dan Abang Cat tolong saya jaga Ahmad sekali sampai sekarang. Kami tinggal serumah. Terima kasih Abi,” luahnya di kapsyen.
Untuk info, Ahmad Bakti Maembong menghadapi masalah polio (poliomyelitis) akibat jangkitan virus polio sehingga merosakkan sistem saraf pusat.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengagumi sikap pasangan sejoli itu tidak meninggalkan tanggungjawab menjaga adiknya malah mendoakan yang terbaik buat mereka.
“Saya sangat bangga dengan awak sebab tak tinggal adik istimewa awak. Seorang kakak yang sangat baik.
“Tahniah dapat suami yang baik. Susah jumpa yang bertanggungjawab soal nikah ni.
“Syukran Ya Allah. Semoga dimurahkan rezeki Kakak dan Abang Cat. Amin Ya Mujib,” tulis beberapa netizen.
Shikin dan Cat baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 13 Julai lalu bertempat di Asiana Grand Hall, Setapak, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, perkahwinan Shikin untuk kali kedua gagal dan akui berpisah cara baik pada Ramadan lalu.
Shikin juga pernah berkahwin dengan Chef Riz, yang merupakan seorang anak kepada Datuk Redzuwan Ismail atau Chef Wan pada 5 Disember 2014 namun bercerai pada Jun 2016.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna Natasya yang kini berusia lapan tahun.
GIPHY App Key not set. Please check settings