Pelakon, Kamal Adli ditidurkan untuk menjalani pembedahan akibat cedera parah apabila diserang oleh seorang individu tidak dikenali di Singapura.
Melalui hantaran Instastory milik isterinya Uqasha Senrose, Kamal terpaksa ditidurkan untuk menjalani pembedahan akibat lukanya yang parah.
“Suami saya ditidurkan untuk pembedahan kerana koyak berlubang sangat dalam di kepala,” tulisnya di Instastory.
Menurut Uqasha, Kamal dipukul oleh seorang lelaki berkali-kali menggunakan cota dan ianya berlaku dalam sekelip mata.
“Kami di Singapura kerana ada acara ekspo. Hari ini adalah hari terakhir dan kami hampir selesai. Lebih kurang jam 10 malam, kami didatangi seorang makcik berkerusi roda meminta untuk bergambar.
“Sedang kami bergambar dengan peminat, tiba-tiba datang seorang lelaki bertanyakan keberadaan Kamal.
“Kami fikir dia peminat namun apabila Kamal menegurnya, dia keluarkan cota dari poket dan terus memukul Kamal berkali-kali dibelakang kepala.
“Darah habis berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul di tulang pipi. Kemudian berkali-kali di badan dan dia pun ada senjata tajam,” ujarnya.
Lebih mengejutkan, lelaki tidak dikenali itu mengugut pasangan suami isteri tersebut malahan melibatkan ahli keluarga Uqasha.
“Ketika dia ditangkap oleh orang awam, dia berikan bermacam alasan, kononnya dia dihantar oleh satu pihak.
“Selepas itu dikatanya pula ada isu peribadi dengan Kamal dan apabila ditanya lagi, dia kata dia cemburu Kamal berkahwin dengan saya.
“Lebih merisaukan, dia memberikan ugutan katanya, dia ingat wajah kami termasuk adik beradik saya. Kami akan menanggung akibatnya.
“Kalau dia ada cota dan senjata tajam, tak mustahil dia ada senjata api juga. Depan polis pun dia berani berikan ugutan,” kongsinya.
Sumber: UTUSAN
GIPHY App Key not set. Please check settings