Pendatang baru dalam industri muzik Malaysia, Mayumi Kasuga tampil mempertaruhkan single pertamanya berjudul Satu.
Lagu hasil ciptaannya sendiri bersama barisan komposer berbakat seperti Mingaling, Yuka Kharisma, Imgkay, Madebyartin, Amzar Sabri dan Fhan, Satu dicipta sewaktu negara berada dalam tempoh PKP dan mengetengahkan mesej perpaduan dan kemanusiaan.
“Ketika negara dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ramai orang berdepan dengan kepayahan dalam kehidupan, banyak yang saya pelajari pada ketika itu di mana kita perlu bersatu dan saling membantu satu sama lain, dan terdetik idea untuk menghasilkan lagu Satu yang mempunyai maksud tersirat dan dapat menyebarkan energi positif buat semua.
“Saya ingin sebuah lagu yang membawa erti perpaduan dalam kemanusiaan setelah melalui fasa yang mencabar dalam hidup, kalau pendengar amati, bait-bait liriknya bukanlah kisah percintaan di antara lelaki dan perempuan kerana ia lebih dari itu.
“Muzik mempunyai kuasa dalam mengeratkan kita semua kerana bahasa muzik itu adalah universal, dan setiap pendengar boleh merasai impaknya yang positif jika kena pada lagunya”, jelas Mayumi.
Sering disangka sebagai orang Jepun, Mayumi menjelaskan dia merupakan orang Malaysia namun bapanya memiliki darah campuran Jepun-Korea.
“Saya sebenarnya orang Malaysia, tetapi sekali imbas memang ramai akan menyangka saya orang Jepun, ayah saya berdarah campuran Jepun-Korea, manakala ibu saya pula berketurunan Melayu asli dan berasal dari Johor”, katanya lagi.
Mayumi Kasuga mula bergiat di dunia seni sejak di bangku sekolah dengan penglibatan dalam bidang teater dan tarian dan diteruskan dengan bergiat sebagai pelakon dan model sehingga tahun 2017.
Kini Mayumi kembali debut sebagai penyanyi dengan lagu Satu yang kini boleh diperdengarkan melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music, manakala video muziknya pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Warner Music Malaysia.
GIPHY App Key not set. Please check settings