Menggunakan selebriti sebagai duta untuk melariskan perniagaan berkesan sekiranya usahawan dapat merancang dengan tepat berdasarkan ilmu perniagaan yang diperoleh.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd, memastikan pengguna sedar akan kewujudan sesebuah perniagaan adalah asas pemasaran yang perlu dititik beratkan kerana ia mampu menarik perhatian pembeli.
“Paling penting ialah orang nampak, percaya dan suka dengan produk kita, kemudian baru mampu membuatkan mereka membeli.
“Saya juga percaya usahawan perlu ada ilmu berkaitan perniagaan yang membantu mereka merencana pemasaran dengan lebih baik dan mencapai sasaran,” katanya.
Radz menjelaskan perkara tersebut sewaktu sidang media program Nak Ubah Hidup 2023 (NUH2023) anjuran RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) yang berlangsung di Setia City Convention Centre di sini.
Jelas Radz, usahawan boleh menggunakan golongan selebriti untuk memasarkan produk mereka kerana ianya merupakan satu daripada kaedah pemasaran namun usahawan juga mestilah memahami cara untuk mencapai matlamat yang diinginkan.
“Seperti saya katakan tadi, selebriti adalah satu daripada kaedah yang boleh digunakan, tetapi ada cara lain yang juga efektik dalam pemasaran. Apa yang penting kena ada pengetahuan serta ilmu mengenai perniagaan,” katanya.
Perkara itu diulaskan kerana terdapat usahawan yang kecewa apabila promosi pemasaran menggunakan golongan selebriti gagal dan tidak memberikan impak terhadap perniaagan menyebabkan mereka kerugian ratusan ribu ringgit.
Terdahulu, lebih 6,000 orang peserta program NUH2023 yang dianjurkan selama tiga hari dan lebih separuh daripadanya merupakan golongan muda berumur bawah 30 tahun
Program ini merupakan inisiatif mentor usahawan terkenal, Datuk Dr Azizan Osman dalam membantu orang ramai terutamanya usahawan dalam dan luar negara pada permulaan tahun 2023.
“Kami sendiri gembira dengan bilangan yang hadir selepas program ini diadakan semula pasca pandemik. Ia satu isyarat yang sangat baik di mana semua pihak bersemangat untuk menaik taraf hidup masing-masing selepas kita diuji dengan pandemik Covid-19.
“Paling menarik 70 peratus mereka yang hadir ialah golongan berumur 30 tahun ke bawah iaitu golongan muda yang bersemangat tinggi dan agresif untuk mengubah nasib mereka,” katanya.
Tambah Radz, peserta-peserta yang menyertai program NUH ini akan diberi reset fokus diri agar dapat mengenalpasti potensi dan kemampuan diri serta mengenalpasti matlamat hidup dan penghalang kejayaan dalam mengubah hidup mereka.
“Misi Dr. Azizan dan RichWorks adalah untuk memberi manfaat kepada orang ramai melalui ilmu dan panduan yang telah terbukti membantu ramai orang sejak RichWorks ditubuhkan pada 2008,” katanya.
Demi membantu golongan usahawan di seluruh negara menghadapi cabaran yang dijangka lebih sukar di tahun 2023, Radz berkata Richworks bersedia membantu untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan mahupun kerajaan negeri.
RichWorks dipilih menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menjalankan program latihan keusahawanan.
Selain itu RichWorks juga turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia dalam melatih dan membimbing bangsa usahawan dan bakal usahawan secara online mahupun program secara bersemuka.
GIPHY App Key not set. Please check settings