KEMAMAN, 19 April – “Hukumlah saya jika didapati bersalah tetapi bukan sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu menyampaikan bantuan kepada orang miskin ini.”

Demikian kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said susulan dakwaan bahawa beliau dan beberapa orang lagi melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Jumaat lepas.

Beliau berkata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiba di rumahnya ketika sukarelawan melakukan kerja-kerja untuk mengagihkan bantuan dan gambar beramai-ramai itu dirakam secara spontan.

“Menteri Besar hubungi saya menyatakan hasrat mahu datang ke rumah untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan bantuan kepada rakyat dan kebetulan waktu beliau tiba itu, petugas sukarelawan DUN (Dewan Undangan Negeri) Kijal sedang menyusun barangan keperluan bantuan.

“Mereka sangat teruja dapat peluang jumpa Menteri Besar dan terus rakamkan gambar… dalam keadaan itulah terlupa untuk jarakkan diri antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu

Justeru, Ahmad berkata beliau berharap rakyat Malaysia tidak ‘menghukum’ sukarelawan terbabit kerana mereka sanggup berpenat lelah, berhujan dan berpanas untuk bekerja tanpa sebarang elaun dalam memastikan rakyat tidak terputus bekalan barangan keperluan dapur.

Ahli DUN Kijal itu turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak mengamalkan jarakan sosial dalam gambar yang tular.

Beliau berkata terdapat lebih 10,000 rumah dalam DUN Kijal dan beliau memutuskan agar bantuan itu diberikan kepada semua rumah secara berperingkat menggunakan khidmat sukarelawan untuk mengangkat beras, tepung dan gula.

“Sebenarnya pergerakan seramai 20 sukarelawan DUN Kijal ini sentiasa dalam makluman polis dan mereka bukanlah datang hantar bantuan itu beramai-ramai, sebaliknya berpecah ke kampung yang berbeza kerana ada laluan ke rumah penduduk tidak boleh menggunakan kenderaan biasa… jadi terpaksa gunakan motosikal.

“Setakat ini, kita dah agih untuk 6,000 rumah dan bakinya 4,000 rumah lagi sedang diusahakan kerana tidak mahu sukarelawan bekerja ketika berpuasa,” katanya.

Ahmad, yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, berkata tidak timbul soal pilih kasih antara rakyat marhaen dan pemimpin politik dalam mematuhi peraturan sepanjang PKP kerana kebanyakan tangkapan membabitkan rakyat ialah kerana mereka keluar tanpa tujuan jelas sedangkan pemimpin politik perlu ‘bergerak’ demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan sepanjang tempoh itu.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini