KUALA LUMPUR: Pelakon, Nazim Othman, masih menyimpan impian untuk memiliki keluarga sendiri biarpun pernah berdepan kegagalan rumah tangga, tahun lalu.
Katanya, pengalaman menyaksikan keruntuhan mahligai yang dibina bersama pelakon, Bella Dally, mengajar dirinya menjadi insan lebih matang dalam kehidupan.
“Saya sudah memulakan hidup baharu dan memandang ke hadapan. Biarlah apa yang berlaku sebelum ini menjadi sejarah. Pengalaman lalu turut mengajar saya untuk tidak mudah melatah apabila berdepan pelbagai situasi.
“Memang ada yang memberikan nasihat dan semangat, agar saya tidak terlalu memikirkan mengenai kegagalan perkahwinan lalu, terutama dalam kalangan orang sekeliling. Hakikatnya, saya tidak pula mengenang mahupun meratapi, cuma mereka yang membuat andaian sedemikian.
“Apa yang pasti, saya belum bertemu pengganti buat masa ini. Insya-Allah, jika diizinkan, saya ingin kembali mendirikan rumah tangga apabila tiba masanya. Saya tetap mahukan sebuah keluarga. Namun, saya serahkan semuanya kepada Allah untuk mengaturkan yang terbaik buat diri ini,” katanya kepada media.
Bintang drama Terima Aku Seadanya itu turut menganggap cerita dirinya masih diselubungi duka akibat perpisahan lalu hanya omong kosong kerana dia sudah membuka lembaran baharu dalam hidup.
Nazim dan Bella berkahwin pada 10 September 2016 dan bercerai pada 2 Mei tahun lalu. Perkahwinan mereka bagaimana pun tidak dikurniakan cahaya mata.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Nazim, 34, bakal kembali ke lokasi penggambaran dalam tempoh terdekat bagi menjayakan drama berjudul Cindai.
Selesa bekerja di bawah produksi JS Pictures, drama terbabit turut menampilkan Ayda Jebat, Syazuwan Hassan dan ramai lagi.
“Ia bakal menjadi kerjasama kedua saya bersama JS Pictures dan saya sememangnya senang bekerja dengan mereka. Sebelum ini, saya menjayakan watak pemuda yang berdepan masalah disleksia di bawah produksi sama.
“Bagi drama Cindai, saya bakal menjayakan watak pemuda kampung. Ia karakter yang dikira berbeza dengan watak pernah saya bawakan sebelum ini.
“Peminat sering melihat saya sentiasa bergaya di kaca TV dan menjadi lelaki kaya. Kini, impian saya untuk mencuba sesuatu yang berbeza menjadi nyata,” kata Nazim.
GIPHY App Key not set. Please check settings