Jakarta – Astro umumkan kerjasama bersama pengendali selular terbesar di Indonesia, Telkomsel, hasilkan sebuah karya original dan eksklusif bergenre seram berjudul “Nawangsih”.

“Nawangsih”, drama bersiri 10 episod ini merupakan edisi terkini ‘MAXstream Original’ sebuah aplikasi portal video dan ia dibintangi Mario Lawalata dan Ririn Ekawati. 

“Nawangsih” mengisahkan mengenai sebuah keluarga iaitu Arya (lakonan Mario Lawalata) bersama isterinya, Kiran (lakonan Ririn Ekawati) serta dua anak perempuan mereka, Srimaya (lakonan Benaya Farah) dan Nawangsih (lakonan Gisellma & Chrissie) yang berpindah ke sebuah rumah lama milik arwah ayah Arya.

Segalanya baik-baik sahaja sehinggalah pada suatu hari, Nawangsih menemui sebuah lampu usang di dalam kotak yang merupakan warisan peninggalan arwah ayah Arya. Sejak itu, Nawangsih mempunyai hubungan luar biasa dengan roh yang menetap di dalam lampu usang tersebut.

Nawangsih Sidang Media Jakarta
Sidang Media Nawangsih yang berlangsung di Jakarta tempoh hari

“Nawangsih” adalah hasil karya penyanyi yang juga merupakan penulis lirik tersohor Indonesia, Melly Goeslow serta digarap kemas oleh sutradara Hedy Suryawan selaku pengarah.

Siri ini juga menjanjikan runut muzik yang cukup hebat hasil sentuhan pemuzik berpengalaman, Anto Hoed.

“Kami sangat teruja untuk menghasilkan satu lagi kandungan MAXstream Original. Sebagai perkhidmatan penstriman video, MAXstream telah secara konsisten menawarkan pelbagai kandungan video digital untuk pengguna serta memperkasakan bakat kreatif rakyat Indonesia dengan menyediakan platform ini yang mampu memperluaskan jangkauan kerja kreatif mereka kepada orang ramai.” – Naib Presiden Bahagian Gaya Hidup Telkomsel, Crispin Tristram

Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, “Astro amat teruja dengan pelancaran Nawangsih, sebuah siri drama penghasilan bersama yang pertama dengan rakan kongsi kami, Telkomsel. Kami percaya dalam penceritaan dan komited untuk terus mengangkat lebih banyak karya seumpamanya bersama rakan industri yang mempunyai matlamat yang sama.

Kami berharap Nawangsih dapat merekodkan kejayaan seperti buah tangan produksi Indonesia terdahulu iaitu ‘Gantung’ dan ‘Dosa’, serta menggariskan kandungan harta intelek (IP) yang berpotensi untuk dibangunkan merentasi genre serta format yang berbeza daripada filem ke siri seterusnya dalam bentuk kandungan digital pendek. 

MAXstream sebelum ini pernah menghasilkan siri original berjudul “Brata”, sebuah drama bergenre thriller jenayah yang dibintangi oleh Oka Antara dan Laura Basuki.

Sehingga kini, Brata telah mencatatkan lebih daripada sejuta tontonan sejak pelancaran episod pertamanya di MAXstream pada September 2018. Karya-karya original lain MAXstream turut mendapat tempat di hati penonton seperti ‘Critical Eleven’ dan ‘Pulang Pulang Ganteng’. 

Crispin turut mengatakan bahawa dengan peningkatan penggunaan perkhidmatan video digital, Telkomsel komited untuk terus menerajui segmen ini. Pada tahun lalu, kandungan video pada rangkaiannya telah menunjukkan peningkatan yang ketara sebanyak 250%, satu jumlah yang sangat memberansangkan untuk pencipta kandungan. 

“Memandangkan jumlah pawagam di Indonesia masih sangat terhad berbanding dengan penduduknya, akses kepada filem di negara ini masih rendah. Oleh itu, Telkomsel berusaha untuk membangunkan segmen ini.

“Dengan peningkatan populariti telefon pintar yang disokong oleh rangkaian jalur lebar, cabaran ini dapat diatasi dengan perkhidmatan penstriman video yang ditawarkan oleh MAXstream. Aplikasi ini juga akan terus berkembang sebagai platform untuk semua rakan penyedia kandungan video Telkomsel,” – Crispin.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari