KOTA SAMARAHAN, 20 NOV – Seorang mahasiswi Tahun Tiga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) koma selepas jatuh dari apartmen rakan sekuliah di Taman Desa Ilmu petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, penuntut berusia 22 tahun itu dikatakan ke rumah rakannya untuk mengambil barang sebelum ditemui terbaring berlumuran darah oleh orang ramai di kaki lima apartmen berkenaan.
Menurut sumber, mangsa yang cedera parah di kepala dan tulang belakang dihantar ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan untuk rawatan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Bagaimanapun, mangsa dipindahkan ke Unit Kecemasan HUS Kuching untuk rawatan rapi malam ini berikutan keadaannya yang kritikal.
“Mangsa tinggal di blok kediaman pelajar dalam kawasan kampus, namun meninggalkan biliknya kira-kira jam 2 petang untuk bertemu rakan sekuliah di apartmen berkenaan.
“Bagaimanapun, dia ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri 15 minit kemudian,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Prof Madya Mohd Fadzil Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes sedang disiasat polis.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata mangsa dalam keadaan koma dan berada di bawah pengawasan rapi.
“Kita masih menyiasat bagi menentukan sama ada mangsa benar-benar jatuh atau wujud unsur jenayah,” katanya.
GIPHY App Key not set. Please check settings