JOHOR BAHRU, 22 Dis – Jabatan Kesihatan Negeri Johor belum menerima sebarang aduan daripada orang awam mengenai makanan yang bahaya terutama melibatkan cecair nitrogen dalam makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata pihaknya juga tidak mempunyai sebarang rekod premis makanan yang menggunakan cecair nitrogen kerana penggunaannya tidak dilarang.

“Meskipun begitu, pengeluar atau penyedia makanan yang menggunakan cecair nitrogen dalam produk makanan yang dihasilkan perlu memastikan ia meruap sepenuhnya sebelum dijual kepada pengguna bagi mengelakkan melecur atau radang dingin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ayub berkata cecair nitrogen harus digunakan pada tahap bersesuaian bagi membekukan produk dan selepas produk makanan membeku, pada amnya cecair nitrogen akan meruap dengan cepat menjadi gas dan tidak kekal dalam produk makanan siap.

“Oleh itu, isu keselamatan makanan berhubung makanan yang dihasilkan atau disediakan menggunakan cecair nitrogen tidak timbul,” katanya.

Beliau berkata cecair nitrogen merupakan gas nitrogen tidak berbahaya yang telah disejukkan ke suhu yang sangat rendah (-196C) sehingga ia menjadi cecair dan banyak digunakan dalam aplikasi industri makanan seperti penyejukan serta-merta ais dan dalam pembuatan ais krim.

Cecair nitrogen juga digunakan dalam pembekuan serta-merta makanan termasuk biskut untuk memberikan tekstur berkabus yang mana ia menghasilkan ‘novelty’ kepada pengguna apabila asap dihembus keluar semasa makan.

Ayub berkata sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang berada di pasaran tempatan, mereka boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat atau Jabatan Kesihatan Negeri Johor atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau Facebook BKKM.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai lima aduan daripada pengguna yang melecur di tangan dan bengkak pada lidah selepas makan biskut naga atau lebih dikenali sebagai ‘biskut berasap’.

Biskut berasap kini menjadi trend kerana ia mampu menghasilkan asap seperti asap rokok oleh sesiapa yang memakannya kesan daripada cecair nitrogen pada biskut berkenaan.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari