Lebih 14,000 peminat pulang dengan penuh kepuasan selepas menyaksikan Konsert Wali Band Live in JB yang berlangsung hampir tiga jam di Educity Sports Complex, Johor Bahru.
Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures itu menampilkan Wali Band dalam persembahan bertenaga yang diselang-selikan dengan momen santai, sisi religi, interaksi spontan serta kejutan istimewa.
Rata-rata penonton turut memberikan reaksi positif terhadap aspek produksi, khususnya kualiti sistem bunyi dan tata cahaya yang berjaya menghidupkan lagi suasana persembahan.

BUZZ RINGKAS
Wali Band dan Najwa Latif
Konsert Wali Band Live in JB yang menghimpunkan lebih 14,000 peminat.
5 Oktober 2026
Educity Sports Complex, Johor Bahru
Wali Band kembali bertemu peminat di Johor Bahru menerusi persembahan hampir tiga jam yang sarat dengan lagu popular, nostalgia, doa dan kejutan.
Konsert menampilkan pembukaan oleh Najwa Latif, persembahan bertenaga Wali Band, segmen akustik dan religi, kejutan kemunculan Najwa bersama Wali serta “Cari Jodoh” sebagai lagu penutup.
Najwa Latif Buka Tirai

Sebelum pentas menjadi milik Wali Band, penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor, Najwa Latif terlebih dahulu membuka tirai persembahan dengan tujuh lagu popularnya.
Walaupun kini tidak lagi seaktif dahulu dalam dunia nyanyian kerana lebih banyak memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan, suara Najwa ternyata masih kekal merdu dan mempunyai identiti tersendiri.
Menariknya, Wali Band dan Najwa Latif turut berkongsi persamaan apabila kedua-duanya muncul sebagai penyanyi rakaman dalam industri muzik pada era yang hampir sama, masing-masing mula mengukuhkan nama sekitar 2008 dan 2011.
Najwa membuka persembahan menerusi “AdaMu”, sebelum meneruskan persembahan dengan “Carta Hati”, “Satu Hari Nanti”, “Kosong” dan “Sahabat”.
Segmen itu kemudian menjadi lebih intim apabila Najwa menyampaikan “Untuk Dia” tanpa iringan muzik, sebelum menutup persembahannya dengan lagu yang cukup sinonim dengan namanya, “Cinta Muka Buku”.
Lagu tersebut sekali lagi membuktikan kekuatannya apabila penonton yang membesar dengan karya Najwa turut menyanyi bersama sepanjang persembahan sehingga membuatkan penyanyi itu kelihatan terharu dengan sambutan diterima.
Wali Band Terus Hidupkan Johor Bahru

Kemunculan Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy di gitar, Tomi di dram dan Ovie di papan kekunci sememangnya menjadi detik yang paling dinantikan.
Sebaik sahaja kelibat mereka muncul di pentas, Educity Sports Complex bergema dengan sorakan penonton.
Wali Band membuka persembahan dengan “Cari Berkah”, sebelum meneruskan momentum menerusi “Si Udin Bertanya”, “Kekasih Halal” dan “Neneku Pahlawanku”.
Empat lagu pembuka itu terus mengajak penonton bergoyang dan menyanyi bersama, sebelum Wali berhenti seketika untuk berkongsi betapa berertinya peluang kembali bertemu peminat di Johor Bahru.
Mereka turut bercerita mengenai makanan yang sempat dinikmati sepanjang berada di Johor termasuk Nasi Lemak Lobster yang cukup popular di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.
Persembahan kemudian diteruskan dengan lagu-lagu rancak seperti “Emang Dasar”, “Abatasa” dan “Ada Gajah Di Balik Batu”.
Tanpa kelihatan lelah, penonton terus bergoyang dan menyanyi bersama, memperlihatkan bagaimana deretan lagu Wali masih begitu dekat di hati peminat Malaysia.
Selit Doa Dan Sisi Religi

Di tengah-tengah kemeriahan konsert, Wali Band turut mengambil ruang untuk menitipkan doa dan harapan buat semua yang hadir.
Segmen tersebut turut diselitkan dengan bacaan beberapa potongan ayat suci Al-Quran termasuk surah Al-Fatihah, memberikan sisi lebih tenang dan bermakna kepada persembahan.
Doa ditujukan kepada pelbagai lapisan penonton, daripada pelajar sehingga mereka yang sudah bekerja, yang masih bujang, sedang bercinta mahupun sudah berumah tangga, selain mereka yang sedang berdepan masalah kesihatan.
Wali turut menitipkan harapan agar semua yang hadir dilimpahkan rezeki, dikurniakan kesihatan yang baik, diberkati kehidupan serta diampunkan segala dosa.
Dalam suasana penuh makna itu, Faank turut menyelitkan gurauan ringan yang mencetuskan gelak tawa penonton.
Segmen Akustik Jadi Lebih Intim

Suasana kemudian berubah lebih tenang apabila Wali Band mempersembahkan beberapa lagu secara akustik.
Menerusi “Doa Untukmu Sayang”, Faank secara spontan bertanya, “Do you love Wali?”, sebelum pertanyaan itu dijawab dengan sorakan gemuruh daripada peminat.
“Baik-Baik Sayang” menyusul dan pada bahagian korus, muzik dihentikan seketika bagi memberi ruang kepada penonton menyanyi bersama.
Persembahan kemudian diteruskan dengan “Harga Diriku”, sebelum Faank menyampaikan satu pesanan kepada peminat, “Kalian adalah harga diri Wali.”
Apabila Faank bertanya, “Capek sudah ya? Belum? Lanjut? Okay!”, sorakan penonton menjadi jawapan bahawa mereka masih belum mahu berhenti.
“Tobat Maksiat” Bawa Mesej Mendalam

Wali kemudian kembali dengan persembahan rancak, namun “Tobat Maksiat” memberikan mesej yang lebih mendalam apabila mengajak penonton bermuhasabah, kembali bertaubat dan mengingati kematian.
Kualiti bunyi yang jelas membolehkan vokal dan muzik Wali dinikmati dengan baik, manakala pencahayaan pentas memberikan impak visual yang lebih menarik.
Lebih mencuri perhatian, persembahan “Tobat Maksiat” turut diserikan dengan permainan dram yang diselaraskan bersama pencahayaan pentas mengikut setiap hentakan dan rentak dram.
Gabungan bunyi dan cahaya itu menjadikan persembahan berkenaan antara segmen yang mencuri perhatian pada malam tersebut.
Najwa Latif Buat Kejutan

Kejutan istimewa hadir ketika Wali Band membawakan “Yank” apabila Najwa Latif muncul kembali di pentas untuk bergabung bersama kumpulan muzik dari Tangerang, Indonesia itu.
Lebih menarik, kemunculan Najwa dibuat secara spontan tanpa sebarang latihan terlebih dahulu.
Namun, keputusan tersebut menghasilkan antara momen paling istimewa pada malam berkenaan apabila vokal Najwa yang lunak dan lembut ternyata serasi dengan vokal Faank.
Gabungan kedua-dua penyanyi itu sekali gus menghasilkan persembahan yang cukup menarik dan menghiburkan.
14,000 Peminat Bersatu Menerusi “Cari Jodoh”

Suasana semakin memuncak menerusi “Aku Bukan Bang Toyib” apabila semakin ramai penonton bangun dari tempat duduk, menari, bergoyang dan menyanyi bersama.
Sorakan serta tepukan memenuhi ruang Educity Sports Complex, dengan wajah-wajah penonton jelas menunjukkan mereka menikmati setiap detik persembahan.
Namun, kemeriahan malam itu seakan belum lengkap tanpa “Cari Jodoh”, lagu yang cukup sinonim dengan Wali Band dan antara karya wajib setiap kali mereka beraksi di hadapan peminat.
Sebaik sahaja lagu itu dimainkan, seluruh ruang konsert kembali bergema dengan suara ribuan peminat yang menyanyi bersama tanpa henti.
Sebahagian besar penonton terus berdiri, bergoyang dan menikmati setiap bait lagu sehingga ke penghujungnya.
Sebagai lagu penutup, “Cari Jodoh” menjadi kemuncak sebenar yang dinanti-nantikan dan menyempurnakan malam tersebut dengan suasana penuh kegembiraan.
Dengan kira-kira 14,000 penonton menyanyi bersama, Wali Band akhirnya menutup persembahan dengan satu momen yang cukup kuat untuk dikenang.


GIPHY App Key not set. Please check settings