in ,

Lebih 600 Peminat Serbu Showcase Fajar Noor!

Dari busking di tengah kota Kuala Lumpur hingga menghimpunkan lebih 600 peminat dalam sebuah showcase eksklusif, kunjungan Fajar Noor ke Malaysia ternyata meninggalkan kenangan istimewa buat peminatnya.

Penyanyi dari Indonesia itu akhirnya merealisasikan penantian peminat tempatan menerusi “Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor” yang berlangsung di Aloft Kuala Lumpur Sentral baru-baru ini.

Menandakan showcase sulungnya di Malaysia, acara tersebut menghimpunkan lebih 600 peminat terpilih termasuk FajarSoul dari seluruh Malaysia, selain peminat dari Indonesia yang sanggup hadir demi meraikan momen istimewa bersama penyanyi berkenaan.

Sambutan itu sekali gus membuktikan karya Fajar menerusi album sulung “Sementara, Selamanya” terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar di Malaysia dan Indonesia.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Fajar Noor, penyanyi dari Indonesia.

APA
“Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor”.

LOKASI
Aloft Kuala Lumpur Sentral.

SAMBUTAN
Lebih 600 peminat dari Malaysia dan Indonesia.

TARIKAN
Sesi busking bersama Syamel dan Khai Bahar sebelum showcase.

Fajar Noor Turun Busking Sebelum Showcase

Sebelum bertemu peminat dalam showcase, Fajar terlebih dahulu mendekati orang ramai menerusi beberapa aktiviti promosi sekitar Kuala Lumpur.

Antaranya termasuk sesi busking di SOGO Kuala Lumpur dan Bukit Bintang bersama penyanyi tempatan, Syamel dan Khai Bahar.

Namun, sesi busking itu bukan sekadar persembahan biasa apabila ketiga-tiga penyanyi saling membawakan lagu popular masing-masing.

Fajar dan Khai Bahar bergandingan menyanyikan “Cukup Sekali” milik Syamel, sebelum Syamel pula membawakan versinya sendiri untuk lagu “Salah Apa Aku” milik Fajar.

Fajar kemudiannya membalas dengan menyampaikan “Luluh”, antara lagu popular Khai Bahar.

Momen spontan tersebut mencuri perhatian orang ramai, khususnya ketika mereka beraksi di Bukit Bintang, sekali gus menjadi pembuka tirai kepada sambutan lebih besar yang menanti Fajar di showcase sulungnya.

Lebih 600 FajarSoul Raikan “Sementara, Selamanya”

Kemuncak kunjungan Fajar ke Malaysia diteruskan menerusi showcase “Sementara, Selamanya” di Aloft Kuala Lumpur Sentral.

Acara tersebut turut dimeriahkan kehadiran rakan artis tempatan termasuk Khai Bahar dan Odda.

Di hadapan ratusan FajarSoul, Fajar menghidupkan karya daripada album sulungnya menerusi persembahan penuh emosi yang turut diselang-selikan dengan perkongsian kisah di sebalik lagu-lagunya.

Daripada kisah cinta dan kehilangan hinggalah penyesalan serta perasaan yang masih tersisa, setiap lagu membuka sisi Fajar yang lebih dekat dan peribadi kepada peminat.

Album Yang Mengangkat Perjalanan Cinta

Album “Sementara, Selamanya” mengangkat tema cycle of love, iaitu perjalanan sebuah hubungan yang melalui pelbagai fasa.

Ia bermula daripada detik pertama jatuh cinta, konflik dan kehilangan, sehinggalah kepada perasaan yang masih tertinggal apabila sesebuah hubungan tidak benar-benar menemukan noktah.

Konsep tersebut turut menjadi antara kekuatan album berkenaan kerana kisah yang dibawakan Fajar memberi ruang kepada pendengar untuk menemukan pengalaman dan cerita mereka sendiri menerusi setiap lagu.

Fajar Hargai Sokongan Peminat Malaysia

Bagi Fajar, peluang untuk bertemu serta membuat persembahan secara langsung di hadapan peminat Malaysia merupakan momen cukup bermakna.

Lebih-lebih lagi selepas menerima sokongan daripada peminat tempatan sejak muziknya mula mendapat perhatian di Malaysia.

Mengimbau kembali showcase tersebut, Fajar turut menitipkan ucapan penghargaan kepada semua peminat yang hadir dan menjadikan malam berkenaan sebagai satu kenangan istimewa buat dirinya.

“Aku mahu terima kasih buat teman-teman semuanya yang udah datang ke showcase Fajar pada hari Jumaat lalu untuk album pertama Fajar, ‘Sementara, Selamanya’. Semoga malam itu bisa kalian kenangan, kerana kalian buat kenangan yang paling indah untuk Fajar dan semua di Malaysia,” katanya.

Kehadiran Fajar Noor ke Malaysia sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkenalkan karya serta identitinya kepada khalayak yang lebih luas di rantau Nusantara.

Menerusi “Sementara, Selamanya”, Fajar bukan sahaja berkongsi kisah peribadinya tentang cinta dan kehilangan, tetapi turut membuka ruang buat pendengar menemukan kisah mereka sendiri dalam setiap lagu.

Album “Sementara, Selamanya” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Coffee Terrace Kembali Dengan Bufet Nostalgia, Ada Sashimi Hingga Kambing Panggang

Konsert Kelate KL 2026 Tangguh, Pemegang Tiket Bakal Terima Refund