Menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, skuad berbasikal trek kebangsaan membawa satu permintaan mudah buat rakyat Malaysia, teruskan memberi semangat kepada TeamMAS yang bakal membawa cabaran negara di Jepun.
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, barisan pelumba negara menyeru rakyat untuk bersama-sama menjadi “tenaga tambahan” kepada atlet yang kini berada dalam fasa akhir persiapan.
“Doa dan semangat anda menjadi kekuatan buat kami untuk memberikan persembahan yang terbaik demi mengharumkan nama negara. Ayuh Malaysia, sokong TeamMAS. Bersama kita melakar kejayaan di Aichi-Nagoya 2026.”
Sukan Asia ke-20 bakal berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober 2026, menghimpunkan lebih 11,000 atlet dari 45 negara dan wilayah untuk bersaing dalam 43 jenis sukan.
Bagi skuad berbasikal trek negara, harapan untuk mencipta kejayaan bukan sesuatu yang mustahil. Datuk Mohd Azizulhasni Awang baru-baru ini menjuarai acara keirin di Sukan Komanwel Glasgow 2026 dan mengakui kemenangan itu meningkatkan keyakinannya menjelang Aichi-Nagoya, biarpun cabaran hebat dijangka hadir daripada Jepun dan China.
Skuad negara turut mempunyai Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang kembali menunjukkan prestasi memberangsangkan selepas pembedahan lutut apabila menjuarai keirin lelaki Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026, manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mempertahankan gelaran keirin wanita.
Saingan berbasikal trek Sukan Asia kali ini dijadualkan berlangsung di Izu Velodrome, pentas yang bakal menjadi medan perjuangan pelumba-pelumba terbaik Asia.
Dengan hanya beberapa minggu berbaki, kini giliran rakyat Malaysia pula memainkan peranan.
Mereka kayuh untuk Malaysia. Kita beri semangat dari Malaysia. 🇲🇾
Ayuh berdiri di belakang TeamMAS dan titipkan ucapan semangat buat skuad berbasikal trek negara menjelang Aichi-Nagoya 2026!
GIPHY App Key not set. Please check settings