in ,

Noh Salleh Tidak Peduli Kritikan Terhadap MV Sang Penikam 2026

Noh Salleh tidak mahu mengambil peduli kritikan segelintir pihak terhadap muzik video (MV) lagu Sang Penikam 2026 yang dinyanyikannya bersama Aina Abdul, terutama dakwaan visual berkenaan terlalu ‘seram’ dan tidak sesuai untuk tontonan umum.

Penyanyi dan komposer itu berkata, karya seni yang dihasilkan bukan bertujuan untuk memenuhi selera semua pihak, sebaliknya menjadi ruang untuk dirinya dan Aina Abdul mengekspresikan kreativiti serta identiti seni masing-masing.

“Saya tak kisah apa orang nak fikir. Seni kami adalah untuk kami dan kami buat bukan untuk menyenangkan hati semua orang. Kalau nak puaskan hati semua orang, memang tak bergeraklah.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Noh Salleh dan Aina Abdul.

APA
MV Sang Penikam 2026 dan perancangan lagu baharu bersama Aina Abdul.

MENGAPA
Noh tidak mahu mengambil peduli kritikan terhadap visual MV yang didakwa seram dan tidak sesuai untuk tontonan umum.

MENARIK
Visual MV berkenaan merupakan gambaran yang sudah lama berada dalam fikiran Noh, malah sebelum lagu itu dihasilkan kira-kira 13 tahun lalu.

SETERUSNYA
Noh dan Aina bakal memasuki studio untuk merakam lagu baharu yang ditulis Aina dan diterbitkan Vega Antares pada minggu hadapan.

PROGRAM
Noh bakal menjadi juri tetap bersama Marsha Milan dan Shila Amzah menerusi Borneo Rising yang bersiaran mulai 6 September di Astro Ria dan sooka.

“Terserahlah apa orang nak kata. Mungkin sifat ‘rock n roll’ ini yang ada pada saya dan Aina. Saya pernah tanya Aina, tak boring ke masuk AJL?

“Di mata seorang karyawan seni, dia kata dia seronok. Dia berpeluang untuk mereka baju, pentas dan macam-macam lagi. Sebelum ini, saya tiada pandangan seperti itu,” katanya.

Noh berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Borneo Rising yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, Selasa.

Visual MV Sudah Lama Bermain Dalam Fikiran Noh

Mengulas mengenai konsep MV Sang Penikam 2026, Noh menjelaskan visual yang dipaparkan sebenarnya merupakan gambaran yang sudah lama bermain dalam fikirannya, malah sebelum lagu berkenaan dihasilkan kira-kira 13 tahun lalu.

“Muzik video itu adalah visual bayangan saya sebelum menulis lagu itu. Saya dan pengarah duduk berbincang untuk memikirkan bagaimana kita boleh mengindahkan lagu yang sangat istimewa ini dan diabadikan di dalam format muzik video.

“Kemudian, pengarah muda ini beritahu, dia mahu merealisasikan impian dan imaginasi saya itu. Di mata orang mungkin nampak seperti mengerikan dan di luar kotak.

“Di mata Noh Salleh, ini impian menjadi realiti. Saya sangat gembira. Bila pertama kali melihat hasil akhir muzik video itu, saya menangis,” ujarnya.

Bagi Noh, reaksi terhadap visual berkenaan tidak mengubah kepuasannya terhadap hasil akhir MV tersebut kerana karya itu berjaya menterjemahkan gambaran yang selama ini berada dalam fikirannya.

Noh Teruja Kembali Berduet Dengan Aina Abdul

Dalam perkembangan sama, Noh mengakui teruja apabila diberi peluang untuk merakam semula Sang Penikam bersama Aina Abdul yang disifatkannya sebagai anak seni dengan bakat dan aura luar biasa.

Menurut vokalis kumpulan Hujan itu, idea untuk menggabungkan mereka berdua sebenarnya sudah tercetus sejak tiga tahun lalu.

“Idea untuk menggabungkan saya bersama Aina terjadi pada tiga tahun lepas. Tuhan mengatur masa yang sangat sesuai.

“Tiga tahun lalu, kami bertemu dan Aina bagitahu, dia amat meminati karya saya terutamanya Sang Penikam.

“Saya pun terkejut, dalam banyak-banyak lagu, kenapa lagu slow ini? Dia menyanyi depan saya. Kemudian bila saya buat konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas, saya ajak dia berduet dan dia setuju.

“Ad-lib yang anda dengar dalam lagu itu, terjadi sekejap sahaja. Itulah magis Aina Abdul. Dalam ramai-ramai artis yang saya berduet, Aina paling susah,” kongsinya.

Noh Jadi Juri Tetap Borneo Rising

Dalam perkembangan lain, Noh bakal menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap menerusi program realiti terbaharu, Borneo Rising.

Noh akan duduk di kerusi juri bersama dua penyanyi berpengalaman, Marsha Milan dan Shila Amzah.

Borneo Rising pula menampilkan gandingan Zizan Razak dan Sherry AlHadad sebagai pengacara.

Program berkenaan bakal bersiaran bermula 6 September ini menerusi saluran Astro Ria dan platform penstriman sooka.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

UNIQLO Perkenal Koleksi Musim Luruh/Musim Sejuk 2026 Di Kuala Lumpur

Hong Kong Perkenal Pelbagai Acara Dan Tarikan Hujung Tahun Buat Pelancong Malaysia