Hong Kong menawarkan pelbagai tarikan buat pelancong Malaysia sepanjang musim luruh hingga hujung tahun menerusi acara budaya, festival makanan, pengembaraan luar serta sambutan Halloween dan perayaan akhir tahun.
Dengan gabungan warisan Timur dan Barat, pemandangan pelabuhan ikonik, kawasan kejiranan yang meriah serta destinasi alam semula jadi, Hong Kong terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi acara utama di Asia.
Musim luruh dan musim sejuk tahun ini turut dipenuhi pelbagai pengalaman unik yang memberi peluang kepada pelancong meneroka Hong Kong dari sudut berbeza.
Pelancong Malaysia.
APA
Pelbagai acara budaya, makanan, pengembaraan dan perayaan di Hong Kong.
BILA
September hingga Disember 2026.
DI MANA
Hong Kong.
MENGAPA
Menawarkan pelbagai pengalaman “Only in Hong Kong” sepanjang musim luruh dan hujung tahun.
TARIKAN
Pesta Tanglung Pertengahan Musim Luruh, Tai Hang Fire Dragon Dance, Hong Kong Cyclothon, Wine & Dine Festival, Halloween, Hong Kong WinterFest dan sambutan Tahun Baharu.

Warisan Budaya Menerangi Kota
Musim luruh Hong Kong bakal bermula dengan sambutan Pesta Pertengahan Musim Luruh yang menampilkan pertunjukan tanglung antarabangsa di Victoria Park dari 17 hingga 27 September.
Antara tarikan utama ialah Tanglung Qinhuai dari Nanjing serta Koridor Tanglung Antarabangsa yang mengetengahkan seni tanglung perayaan dari lebih 20 negara.
Dari 24 hingga 26 September pula, pengunjung berpeluang menyaksikan Tai Hang Fire Dragon Dance yang memasuki edisi ke-147.
Naga sepanjang 67 meter yang dihiasi dengan kira-kira 12,000 batang colok menyala akan dibawa melalui jalan-jalan di Tai Hang, menghasilkan pemandangan yang cukup unik dan meriah.

Pengembaraan Untuk Pencinta Aktiviti Luar
Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak, Hong Kong turut menawarkan pengalaman di luar kawasan bandar.
Sun Hung Kai Properties Hong Kong Cyclothon yang berlangsung pada 11 Oktober menampilkan laluan sejauh 56 kilometer dan 32 kilometer merentasi jambatan, terowong serta landskap bandar ikonik Hong Kong.
Kemeriahan diteruskan menerusi Cyclothon Carnival di West Kowloon Cultural District yang menawarkan aktiviti sukan, hiburan, aktiviti mesra keluarga serta pengalaman makanan sepanjang hari.
Selain berbasikal, pengunjung juga boleh meneroka laluan mendaki, pulau-pulau luar Hong Kong serta Hong Kong UNESCO Global Geopark yang menawarkan gabungan pemandangan bandar dan alam semula jadi.

Syurga Buat Pencinta Makanan
Hong Kong Wine & Dine Festival yang berlangsung dari 29 Oktober hingga 1 November pula menjadi acara wajib buat pencinta makanan.
Lebih 300 gerai di Central Harbourfront akan menghimpunkan pelbagai cita rasa dari seluruh dunia, selain menawarkan sesi merasa wain, persembahan hiburan serta gandingan makanan dan minuman.
Tarikan baharu “Only in Hong Kong” Flavours turut diperkenalkan dengan mengetengahkan hidangan istimewa daripada lebih 100 restoran bertaraf Michelin, hotel mewah dan restoran tempatan popular.
Kemeriahan tidak berakhir selepas festival apabila Hong Kong Wine & Dine Month akan berlangsung sepanjang November dengan pelbagai tawaran makanan eksklusif, menu istimewa serta pengalaman kulinari di seluruh bandar.

Hong Kong Bertukar Menjadi Pentas Halloween
Oktober ini turut menyaksikan Hong Kong menganjurkan sambutan Halloween secara besar-besaran di seluruh bandar buat kali pertama.
Pelbagai kawasan akan berubah menjadi pentas gergasi yang menampilkan kreativiti, kostum serta pengalaman interaktif menerusi aktiviti bertemakan Halloween dan kerjasama tempatan.
Pengunjung boleh menyertai acara khas pada 17 dan 24 Oktober sebelum kemuncak sambutan di seluruh bandar pada 31 Oktober.
Tarikan popular termasuk Hong Kong Disneyland dan Ocean Park juga akan menambahkan kemeriahan menerusi pengalaman Halloween tersendiri.

Sambutan Musim Sejuk Penuh Cahaya
Kemeriahan diteruskan sehingga penghujung tahun menerusi Hong Kong WinterFest yang bermula pada November.
Antara tarikan utama ialah Christmas Town serta pertunjukan cahaya yang menghiasi kawasan Central, Tsim Sha Tsui dan Causeway Bay.
Pengunjung juga boleh menikmati pengalaman membeli-belah bermusim dan hidangan bertemakan perayaan di seluruh bandar.
Sambutan kemudiannya mencapai kemuncak menerusi New Year Countdown Celebrations pada 31 Disember dengan pertunjukan bunga api dan muzik yang menerangi Victoria Harbour.

Terokai Hong Kong Di Luar Acara Utama
Selain acara berskala besar, Hong Kong turut menawarkan pengalaman harian yang menggabungkan suasana bandar dengan keindahan alam semula jadi.
Pengunjung boleh menaiki Star Ferry atau bot tradisional menyusuri Victoria Harbour, menaiki trem “ding ding” bersejarah merentasi kawasan kejiranan yang sibuk atau meneroka laluan mendaki dan kawasan pesisir yang indah.
Dengan pelbagai pilihan daripada penerokaan budaya, pengembaraan luar, pengalaman kulinari hinggalah hiburan perayaan, musim luruh dan musim sejuk menjadi antara waktu menarik untuk pelancong Malaysia melihat Hong Kong dalam suasana berbeza.
Daripada tarian naga api berusia berdekad-dekad hingga sambutan Halloween berskala seluruh bandar dan kemeriahan Tahun Baharu, Hong Kong menawarkan pelbagai pengalaman yang boleh dimasukkan dalam senarai percutian hujung tahun.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara dan pengalaman terkini di Hong Kong, layari laman rasmi Discover Hong Kong.



GIPHY App Key not set. Please check settings