Selepas mencuri perhatian menerusi video nyanyian yang tular di TikTok, penyanyi baharu, Ku Faiz, kini melangkah setapak lagi dalam kerjaya seni apabila mempertaruhkan single debut berjudul “Jurang Takdirku”.
Lagu balada moden itu menjadi taruhan pertama penyanyi berusia 25 tahun yang berasal dari Alor Setar, Kedah, selepas sebelum ini aktif menyertai beberapa program televisyen dan membuat persembahan di pelbagai acara rasmi.
Ku Faiz.
APA
Pelancaran single debut “Jurang Takdirku”.
BILA
Video muzik dilancarkan pada 31 Julai 2026.
DI MANA
YouTube Luncai Emas dan Myoozikwav Entertainment serta semua platform penstriman digital.
KENAPA
Memperkenalkan bakat baharu dengan sebuah lagu balada moden yang sarat emosi.

Dari TikTok Ke Dunia Rakaman
Ku Muhammad Faiz Ku Zulrushdi atau lebih dikenali sebagai Ku Faiz bukanlah nama asing dalam kalangan peminat muzik yang aktif di media sosial.
Beliau pernah menyertai program Ceria Popstar, All Together Now serta muncul sebagai tetamu dalam program Motif Viral.
Bakat nyanyiannya turut mendapat perhatian ramai apabila video beliau membawakan lagu Roman Cinta menjadi tular di TikTok sehingga meraih ribuan tontonan.
Populariti itu membuka peluang kepada Ku Faiz untuk membuat persembahan di pelbagai majlis rasmi, termasuk acara yang dihadiri pemimpin negara dan tokoh korporat.
Di sebalik minatnya dalam dunia seni, Ku Faiz kini turut berkhidmat sebagai penjawat awam di Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Kisah Cinta Yang Terhalang
“Jurang Takdirku” mengangkat kisah dua insan yang saling mencintai, namun terpaksa memendam perasaan akibat jurang kehidupan yang memisahkan mereka.
Dengan gabungan melodi yang mudah diingati, lirik yang dekat dengan realiti masyarakat serta susunan muzik berkonsepkan balada moden, lagu ini diharapkan mampu menyentuh hati pendengar.

Komposer Tunggu Dua Tahun Cari Suara Yang Sesuai
Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Dearlynnns, yang sebelum ini menghasilkan beberapa karya seperti Bertahan Denganmu, Sengketa Asmara Luka, Meriah Hari Raya dan Tanpa Relaku.
Menurut Dearlynnns, lagu tersebut sebenarnya telah dihasilkan sejak tahun 2024, namun beliau mengambil masa hampir dua tahun untuk mencari penyanyi yang benar-benar sesuai membawakan karya itu.
“Lagu Jurang Takdirku ini sebenarnya telah dicipta pada tahun 2024. Beberapa penyanyi pernah mencuba membawakan lagu ini, namun pada saya warna suara mereka masih belum menepati karakter yang saya bayangkan. Sehinggalah pada tahun 2026 saya bertemu dengan Ku Faiz,” katanya.
Beliau turut menjelaskan melodi lagu itu sengaja dihasilkan lebih mudah supaya bukan sahaja sedap didengar, malah sesuai dinyanyikan oleh orang ramai ketika berkaraoke.

Mahu Buktikan Kemampuan Sebagai Pendatang Baharu
Bagi Ku Faiz, peluang merakamkan lagu tersebut merupakan satu kepercayaan besar yang ingin dihargainya sebaik mungkin.
“Lagu ini mempunyai aura dan kekuatan melodinya yang tersendiri. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengetengahkan bakat yang saya miliki dan berharap peminat muzik Malaysia dapat menerima karya pertama saya ini,” katanya.
Beliau berharap lagu tersebut mampu diterima baik oleh pendengar serta menjadi titik permulaan yang positif dalam perjalanan seninya sebagai penyanyi rakaman.
Video muzik rasmi “Jurang Takdirku” bakal dilancarkan pada 31 Julai 2026 (Jumaat), jam 5.30 petang menerusi saluran YouTube Luncai Emas dan Myoozikwav Entertainment, manakala single tersebut turut tersedia di semua platform penstriman digital.



GIPHY App Key not set. Please check settings