Festival automotif dan budaya kustom terbesar negara, Art of Speed (AOS) Malaysia 2026, kembali menggegarkan MAEPS, Serdang pada 1 dan 2 Ogos ini dengan pelbagai tarikan baharu yang lebih besar daripada edisi sebelum ini.
Bertemakan “Summer Festival – Kustom Bergaya”, acara tahun ke-15 itu bukan sahaja menghimpunkan jentera kustom bertaraf antarabangsa, malah turut menggabungkan festival muzik, gaya hidup serta aktiviti interaktif untuk seisi keluarga.
Art of Speed Malaysia.
APA
Festival automotif, budaya kustom dan muzik terbesar negara.
BILA
1 hingga 2 Ogos 2026.
DI MANA
Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
KENAPA
Menghimpunkan komuniti automotif, muzik dan gaya hidup kreatif dalam satu festival berskala besar.

Liberty Walk, Hot Wheels Dan Tetamu Antarabangsa Jadi Tumpuan
Edisi kali ini menyaksikan kehadiran ramai nama besar dari Jepun, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, Singapura, Taiwan dan Brunei, termasuk wakil Liberty Walk, MOONEYES, Hot Wheels Premium, DicE Magazine serta pelbagai komuniti automotif terkenal dunia.
Pengunjung turut berpeluang melihat pelbagai motosikal dan kereta kustom eksklusif termasuk 1945 Harley-Davidson Knucklehead, 1966 Harley-Davidson Shovelhead, selain pameran khas daripada Liberty Walk dan jentera modifikasi dari Thailand serta Taiwan.

SoundCircus Kini Lebih Besar
Bukan sekadar acara automotif, SoundCircus Festival 2026 tampil dengan penganjuran terbesar dalam sejarah apabila menampilkan enam pentas sepanjang dua hari festival.
Antara artis yang bakal membuat persembahan ialah Ella x Cokelat, Sheila Majid, Nadin Amizah, Disagree, Johnny Pandora, Dannqrack & Eemrun, Tenxi dan Hari Slatan. Festival itu turut meraikan 20 Tahun Hujan serta penghormatan khas 30 Tahun Asian Hardcore.

Flying Fox, Hot Wheels Dan Hadiah RM80,000
Antara tarikan baharu yang mencuri perhatian ialah pengalaman Flying Fox yang membolehkan pengunjung meluncur merentasi kawasan pentas SoundCircus, selain sesi pandu uji motosikal pelbagai jenama, Automotive Flea Market, Collectible Alley serta pelbagai aktiviti gaya hidup.
Peminat Hot Wheels pula boleh mengunjungi Hot Wheels Collectors Convention Malaysia yang kembali dengan model eksklusif Nissan Skyline GT-R V·Spec II (BNR34), pameran kereta sebenar serta kehadiran pereka Hot Wheels Premium, Ronald Wong.
Lebih mengujakan, aktiviti Kembara Passport menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM80,000, termasuk sebuah Honda HR-V yang diubah suai khas, motosikal kustom Thunder Motorcycles serta sebuah Vespa S125.

Festival Untuk Semua
Selain pameran automotif, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai zon komuniti seperti Show & Shine, Kulture Kartel, KL Orbits, perhimpunan kelab motosikal dan kereta, medan selera, ruang kopi serta pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar berkata edisi tahun ini menjadi simbol pencapaian besar buat AOS selepas 15 tahun menghimpunkan komuniti automotif dan gaya hidup kreatif dalam satu festival bertaraf dunia.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket Early Bird pada harga RM35, manakala tiket di kaunter dijual pada harga RM40. Kanak-kanak di bawah 12 tahun serta pemegang Kad OKU pula menikmati kemasukan percuma.



GIPHY App Key not set. Please check settings