Walaupun sudah memiliki lima single sendiri, penyanyi Danial Kifli mengakui masih ramai yang mengenali lagu-lagunya tanpa mengetahui bahawa dialah penyanyi sebenar di sebalik karya tersebut.
Menurut Danial, perkara itu menjadi antara sebab utama dia menerima cabaran menyertai Big Stage X Rocketfuel kerana mahu memperkenalkan dirinya dengan lebih dekat kepada penonton selain membuktikan kemampuan sebagai penyanyi dan komposer.
“Orang tahu lagu saya, tapi tak tahu saya penyanyinya.
SIAPA
Daniel Kifli.
APA
Menyertai Big Stage X Rocketfuel.
MENGAPA
Mahu memperkenalkan dirinya sebagai penyanyi dan komposer.
ISU
Ramai mengenali lagunya tetapi tidak mengetahui dia penyanyinya.
MATLAMAT
Membuktikan identiti dan bakat tersendiri.
“Dan saya dah buktikan menerusi lima single yang saya keluarkan, tapi masih ramai juga yang tak tahu saya penyanyinya.
“Orang samakan saya dengan penyanyi itu dan penyanyi ini. Jadi sebab utama saya masuk Big Stage adalah kerana saya mahu memperkenalkan diri saya sebagai penyanyi dan komposer.
“Saya juga mahu buktikan saya ada bakat tersendiri yang berbeza daripada peserta lain,” katanya.

Tak Anggap Diri Ada Kelebihan
Meskipun antara peserta yang sudah mempunyai beberapa karya sendiri, Danial tidak melihat perkara itu sebagai satu kelebihan besar berbanding peserta lain.
Sebaliknya, dia hanya mahu memanfaatkan pengalaman yang dikumpul sepanjang bergelar penyanyi untuk membantu dirinya di pentas pertandingan.
“Saya tak fikirkan benda itu sangat.
“Saya cuma berbekalkan pengalaman membuat persembahan di hadapan orang ramai, bersama penyanyi-penyanyi lain dan saya juga pernah membuat persembahan di hadapan Perdana Menteri.
“Jadi saya bawakan pengalaman-pengalaman tersebut serta nasihat daripada rakan-rakan artis ke pentas Big Stage. Tapi peserta-peserta lain pun tidak kurang hebatnya,” katanya.

Tidak Rasa Turun Standard
Danial turut menolak tanggapan segelintir pihak yang mungkin menganggap penyertaannya dalam Big Stage sebagai satu langkah ke belakang memandangkan dia sudah mempunyai beberapa single sebelum ini.
Sebaliknya, dia melihat pertandingan tersebut sebagai peluang untuk menimba ilmu dan mencabar diri keluar daripada zon selesa.
“Saya tak letakkan diri saya sebagai artis sebab saya masih rasa diri saya masih belajar lagi.
“Saya juga hanya boleh menyanyi lagu balada sebelum ini, jadi saya mahu mencabar diri saya sertai Big Stage.
“Saya tahu Big Stage bukan mudah kerana kita ada sesi vokal dan setiap minggu tema yang berbeza.
“Dari situ orang tidak akan melihat saya membawa genre balada sahaja. Penonton mungkin akan melihat saya membawa genre tradisional, rock, pop punk atau sebagainya,” katanya.
Tambah Daniel, dia tidak pernah menganggap penyertaannya sebagai satu kemunduran dalam kerjaya.
“Saya tak merasakan saya downgrade diri saya apabila sertai Big Stage.
“Lebih kepada pengalaman belajar di universiti. Saya mahu ada ilmu dan bakat apabila nama saya mula dikenali nanti,” katanya.

Ada Kekuatan Tersendiri
Mengulas pandangan sesetengah pihak yang menganggap suaranya terlalu biasa, Danial berkata setiap penyanyi mempunyai identiti dan kekuatan masing-masing.
Menurutnya, tidak semua pendengar mempunyai cita rasa muzik yang sama dan dia percaya setiap genre mempunyai kelompok peminat tersendiri.
“Saya ada bakat dan kekuatan saya sendiri.
“Setiap orang ada pendapat masing-masing. Tak semua orang dalam Malaysia minat balada, ada juga yang minat jazz, R&B dan sebagainya.
“Mungkin itu sudah rezeki saya kerana saya memang meminati balada,” katanya.

Mahu Orang Kenal Daniel Kifli
Bagi Danial, Big Stage X Rocketfuel bukan sekadar medan pertandingan tetapi platform terbaik untuk memperkenalkan dirinya kepada lebih ramai penonton.
Dia berharap selepas ini orang ramai bukan sahaja mengenali lagu-lagunya, malah mengetahui siapa penyanyi dan komposer di sebalik karya-karya tersebut.



GIPHY App Key not set. Please check settings