in

Mak #SalamDariSyurga Bukan Filem Air Mata Murahan

Screenshot

PETALING JAYA – Dalam dunia yang bergerak terlalu laju, ramai antara kita terlepas pandang satu perkara iaitu hubungan yang paling tulus sering berada paling dekat.

Barisan pelakon dan pengarah

Menurut penerbit yang juga pelakon utama, Azman Ahmad, naskhah ini lahir daripada pemerhatian terhadap kehidupan sebenar, khususnya tentang hubungan ibu dan anak yang kian renggang tanpa disedari.

🎬 Mak #SalamDariSyurga
  • Filem berteras kasih ibu dan hubungan anak yang renggang
  • Menolak sensasi, memilih penceritaan jujur dan sederhana
  • Dibintangi Datuk Fauziah Nawi, Azman Ahmad & Izzy Reef
  • Mengangkat isu pemerdagangan manusia secara berlapik
  • Berlatarbelakangkan kampung dan hutan di Kedah
  • Mengetengahkan tema penyesalan dan peluang kedua
  • Cabaran penggambaran luar selama dua hari dua malam
  • Ditayangkan bermula 22 Januari 2026

“Kita terlalu sibuk mengejar hidup sampai lupa siapa yang sentiasa mendoakan kita dalam diam. Filem ini bukan untuk mengajar, cuma mengingatkan,” – Azman Ahmad, Penerbit dan Pelakon Utama.

Penerbit dan Pelakon Utama Azman Ahmad

Kekuatan emosi filem ini banyak disandarkan kepada lakonan Datuk Fauziah Nawi, yang membawa watak ibu dengan pendekatan sederhana tetapi meninggalkan kesan mendalam.

Gandingannya bersama Azman Ahmad dan Izzy Reef memperlihatkan konflik dalaman seorang anak lelaki yang cuba berdamai dengan masa silamnya.

Setiap babak dalam Mak #SalamDariSyurga diberi ruang untuk emosi berkembang secara semula jadi membuatkan penonton bukan sekadar menonton, tetapi turut merasa.

“Kalau penonton keluar pawagam dalam keadaan termenung atau teringatkan ibu mereka, itu sudah cukup bermakna buat kami,” tambah Azman.

“Datuk Fauziah Nawi tidak perlu dibuktikan lagi. Izzy Reef pula membawa keseimbangan yang kuat. Selain itu, kami juga beri peluang kepada bakat baharu untuk mencabar diri, dan hasilnya sangat memuaskan,” jelasnya.

Datuk Fauziah Nawi, Izzy Reef, Azman Ahmad dan Iman Darwish

Lebih daripada kisah kekeluargaan, filem ini turut menyentuh soal penyesalan, peluang kedua dan erti pulang bukan hanya ke rumah, tetapi ke hati seseorang yang tidak pernah berhenti berharap.

Berlatarbelakangkan sebuah kampung di Kedah, Mak #SalamDariSyurga mengisahkan Aman, seorang lelaki yang terperangkap dalam sindiket pemerdagangan manusia diketuai Edy.

Datuk Fauziah Nawi

Segalanya berubah apabila Aman menjadi buruan pihak berkuasa selepas satu operasi di sempadan, memaksanya melarikan diri dan bersembunyi di dalam hutan.

Dalam usaha membersihkan namanya dan kembali ke sisi ibunya, Nor, Aman berjuang bertahan hidup demi satu tujuan pulang ke ‘syurga’ yang masih menunggunya.

Pengarah filem, Hj Hafis Nafiah, menyifatkan proses penggambaran sebagai antara pengalaman paling mencabar sepanjang kerjayanya.

“Ada babak yang memerlukan kami berkampung dalam hutan selama dua hari dua malam. Ia penat, tetapi penting untuk kejujuran visual dan emosi,” katanya.

Hj Hafis Nafiah

Beliau turut memuji komitmen para pelakon yang sanggup berkorban demi menjayakan naskhah tersebut.

Diterbitkan oleh AA Success Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Awal Muzik, Mak #SalamDariSyurga dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 22 Januari 2026.

Filem ini mungkin bukan sekadar hiburan sebaliknya satu peringatan tentang kasih yang sering kita abaikan: kasih seorang ibu.

Ditulis oleh Ezza Azira

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Resorts World Genting Lancar “CNY in the Sky”, Tarikan Imersif Tertinggi Malaysia Diiktiraf Malaysia Book of Records

McDonald’s & Media Prima Lancar Siri TikTok ‘FYP Macam VIP’, Papar Realiti Generasi Z